Suspek panas hati sebab mangsa merendahkan keluarga & rupa parasnya - Polis


Polis mendakwa pihaknya telah berjaya menyelesaikan kes bunuh Siti Nur Surya Ismail, 19, dalam tempoh kurang dari 24 jam selepas suspek, 19, tampil menyerah diri dan mengaku melakukan jenayah itu. 


Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, suspek pada awalnya mendakwa dia menemui mayat mangsa tertiarap di ruang tamu ketika pergi ke rumah mangsa pada jam 9.30 pagi, Ahad, 1 November 2020. 


Namun, polis mengesyaki suspek terbabit dalam kes pembunuhan itu berikutan terdapat kesan-kesan lebam dan gigitan pada beberapa bahagian badan suspek. Setelah didesak, akhirnya suspek mengaku telah membunuh mangsa. 


"Dia menceritakan, pada mulanya dia hanya pergi ke rumah mangsa sekadar untuk bersembang kosong. Ketika sedang berbual, suspek mendakwa mangsa telah merendah-rendahkan dirinya terutama tentang status ekonomi keluarga dan rupa parasanya. 


"Suspek yang panas hati kemudian menyerang mangsa yang kebetulan itu sedang memegang sebilah pisau untuk menetas lebihan benang pada seluarnya," katanya. 


Suspek dan mangsa bergelut sehingga menyebabkan Siti Nur Surya cedera ditetak di bahagian muka, leher dan dada sehingga tidak sedarkan diri. 


Panik melihat mangsa yang sudah tidak bergerak, suspek nekad menetak pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus. Suspek kemudian mengambil wang, telefon bimbit mangsa agar kejadian itu dilihat seperti kes samun. Suspek kemudian melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal. 


Keterangan suspek itu konsisten dengan bukti video rakaman litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebuah rumah burung walit berhampiran rumah mangsa, yang merakam kelibat suspek dan motosikalnya berada di rumah tersebut pada hari kejadian. 


Mahkamah Majistret Marang hari ini membenarkan suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 


Suspek yang tiba di perkarang mahkamah pada jam 10.10 pagi juga dilaporkan menggigil semasa dibawa keluar dari kenderaan polis. 


Sumber: Kosmo

No comments