(Video) 'Jangan takut' - Bekas menteri Sri Lanka makan ikan mentah, buktikan kepada rakyat ikan tak sebarkan Covid-19
Seorang bekas anggota Parlimen Sri Lanka menjadi tajuk berita utama di dalam dan luar negara setelah dia menggigit ikan mentah semasa sidang media dalam usaha membuktikan bahawa hidupan marin tidak menyebarkan virus Covid-19.
Dilip Wedaarachchi, yang juga bekas Menteri Perikanan Sri Lanka berkhidmat sehingga 2019, menggigit ikan mentah itu pada sidang media di Colombo pada Selasa lalu untuk mendorong orang ramai membeli lebih banyak ikan.
Dalam sidang media itu Wedaarachchi berkata, Pandemik Covid-19 telah menyebabkan kemerosotan industri ikan di Sri Lanka, yang merupakan antara sumber utama pendapatan negara.
"Saya membawa ikan ini untuk ditunjukkan kepada anda. Saya membuat rayuan kepada penduduk di negara ini untuk memakan ikan ini. Jangan takut. Anda tidak akan dijangkiti oleh Covid-19," katanya yang kemudian menggigit ikan itu.
Menurut laporan Reuters, penjualan ikan di Sri Lanka merosot setelah kluster Covid-19 dikesan di Pasar Ikan Tengah di pinggiran ibu kota, bulan lalu.
Penularan wabak di pasar itu menyebabkan peningkatan kes jangkitan positif dan merebak ke seluruh negara. Sejumlah besar ikan tidak dapat dijual setelah pasar diarahkan tutup dan harga ikan juga turun mendadak kerana tiada pelanggan yang mahu membelinya.
Ini bukan kali pertama tokoh awam di Sri Lanka tampil melakukan perkara pelik atau luar biasa. Sebelum ini, seorang menteri Sri Lanka pernah memanjat pokok kelapa untuk meningkatkan kesedaran mengenai kekurangan kelapa di pulau itu. - Agensi
Post a Comment