'Seluruh tubuh saya menggigil & bulu roma meremang' - Ramai penduduk di Sabak Bernam alami gangguan pintu rumah diketuk, tetapi bila dibuka takde orang


Sebelum ini, The Reporter pernah menyiarkan perkongsian mengenai misteri ketukan pintu yang berlaku di beberapa tempat di Perak yang difahamkan kerap berlaku sekitar jam 1 hingga 3 pagi ketika penghuni di rumah sedang tidur nyenyak. 


Baca: 'Bila intai, tiada orang' - Pintu rumah penghuni di Teluk Intan diketuk sampai bergegar pada jam 1-2 pagi, ada kesan cakaran


Dan baru-baru ini, misteri ketukan pintu rumah penduduk kembali lagi dan kali ini kejadian itu berlaku di Sabak Bernam yang dikatakan mula terjadi sejak Rabu, 18 November 2020. 


Lapor Sinar Harian Online, penduduk di beberapa kampung di daerah Sabak Bernam mendakwa diganggu dengan bunyi pintu rumah diketuk tanpa salam. Antara kampung yang terkena gangguan itu adalah Kampung Batu 37, Batu 38, Kampung Tengah dan Kampung Banting.


Penduduk Kampung Batu 37, Khairol Anuar Mhd Zaini, 39, mendakwa pintu dapur rumahnya diketuk pada jam 10.45 malam kelmarin dan ketika kejadian, dia sedang menonton televisyen selepas pulang dari berniaga burger. 


"Tiba-tiba saya terdengar bunyi pintu dapur rumah diketuk dengan kuat seperti seseorang ingin masuk ke dalam dengan cepat. 


"Mulanya saya biarkan saja sebab ingatkan anak saudara datang ke rumah. Tapi saya dengar bunyi ketukan itu semakin kuat sebelum saya intai di tingkap dan mendapati tiada sesiapa di luar rumah.


"Beberapa minit selepas itu, sekali lagi bunyi ketukan yang sama kedengaran dari dalam bilik air rumah. Seluruh tubuh saya menggigil dan bulu roma meremang sebaik dengar ketukan pintu di bilik air yang sudah lama tidak digunakan," katanya. 


Penduduk Kampung Batu 38, Nor Azuwa Shaaban, 31, berkata, dua adiknya, Nur Farzana, 22, dan Nurul Farisya, 17, turut mengalami kejadian yang sama pada jam 10 malam kelmarin. 


Sebaik saja Nur Farzana menyiapkan tugasan kerja di beranda, dia masuk ke dalam rumah. Kemudian terdengar bunyi pintu depan diketuk dan kebetulanan Nurul Farisya yang sedang duduk di sofa turut terdengar. 


"Mereka berdua tidak berani membuka pintu dan pada keesokannya kecoh dalam WhatsApp dan Facebook mengenai gangguan bunyi ketukan tanpa salam itu yang juga dialami penduduk lain," katanya. 



Di Kampung Tengah, Nor Zaihana, 38, berkongsi pengalaman yang sama di mana dia sekeluarga mengalami gangguan itu pada jam 11.40 malam dan ketika itu dia sedang menidurkan bayinya yang berusia empat bulan. 


Pada awalnya Nor Zaihana menyangka dua anak saudaranya baru pulang dari kerja. Tetapi apabila dijenguk melalui tingkap, tiada sesiapa yang berada di luar rumah menyebabkan dia berasa seram serta-merta ditambah pula dengan ketiadaan suaminya pada masa itu. 


Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu 37 Darat, Muhammad Nazri Saiman turut menerima gangguan itu pada jam 11 kelmarin. Beliau juga banyak menerima aduan penduduk mengenai hal itu. Tetapi beliau menasihatkan penduduk kampung berhati-hati dan tidak membuka pintu sekiranya kejadian yang sama berulang lagi. Sebaliknya menghubungi polis atau jiran berdekatan sekiranya ternampak kelibat yang mencurigakan.


Sebagai langkah keselamatan, pihaknya juga telah menubuhkan sukarelawan MPKK untuk membuat rondaan bermula dari jam 10 malam hingga 3 pagi di sekitar kampung. 



Berdasarkan kisah misteri ketukan pintu yang pernah berlaku di Teluk Intan dan beberapa daerah di Perak dahulu, ada yang mendakwa gangguan itu berpunca dari makhluk halus yang ingin mencari 'tuan baru'.

No comments