Ibu pijak bayi yang baru dilahirkan sehingga mati


Seorang pembantu rumah warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan membunuh bayinya yang baru dilahirkan, 22 Ogos lalu.

Welmince Alunat, 38, hanya mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Haslinda A. Raof.

Pengakuan tidak direkodkan daripada wanita itu kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di dalam bilik mencuci dan menjemur baju di rumah majikannya di Taman Cempaka, Ampang di sini pada 7 pagi, 22 Ogos lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Sangitaa manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 22 Nov untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, wanita terbabit memijak bayi berkenaan sejurus melahirkannya bagi menyembunyikan kelahiran tersebut daripada disedari anak majikannya dan meletakkan bayi itu di dalam baldi dalam keadaan kepala bayi di bawah dan kakinya di atas.

Majikannya yang pulang ke rumah selepas itu mendapati wanita berkenaan berada dalam keadaan berlumuran darah serta lemah lalu membawanya ke klinik sebelum dirujuk ke hospital dan bayi itu ditemui oleh majikannya di dalam baldi tersebut selepas diberitahu pembantu rumah itu.

No comments