Dituduh mencuri buku warna, kanak-kanak dipukul dan ditampar sehingga patah gigi


Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dikurung dan ditampar pipinya hanya kerana didakwa mencuri buku mewarna dalam kejadian yang berlaku di sebuah pasar raya di Sibu, Sarawak, pada 28 Januari 2019. 

Menurut laporan Seehua, kakitangan wanita di premis itu mendakwa dia ternampak kanak-kanak itu mencuri buku mewarna lalu segera menangkapnya sebelum diserahkan kepada penyelianya yang sedang bertugas. 

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada jam lima petang dan kanak-kanak terbabit dibawa ke bilik stor di mana dia dipaksa menyapu lantai sebagai hukuman. 

Apabila dia cuba melarikan diri, penyelia terbabit menampar mukanya dan menggunakan penyangkut baju untuk memukul mangsa sehingga giginya tercabut. 

Tidak dijelaskan sama ada pihak pasar raya itu mempunyai bukti kukuh yang mendakwa kanak-kanak itu mencuri buku mewarna. 

Selepas dua jam setengah, mangsa dibenarkan pulang dengan giginya yang patah, mata kiri dan kakinya lebam akibat dipukul. 

Nenek mangsa yang terkejut melihat keadaan cucunya terus memaklumkan kepada bapa mangsa untuk pulang melihat anaknya itu. 

Berang melihat kecederaan pada tubuh badan mangsa, si bapa mahu menuntut keadilan dan membawa anaknya ke balai polis untuk membuat laporan. 

Bertindak di atas laporan itu, polis pergi ke pasar raya tersebut untuk melakukan siasatan dan menemui kesan darah yang dipercayai milik mangsa. 

Penyelia pasar raya itu direman pada keesokan hari untuk siasatan dan juga diarahkan menjalani ujian saringan air kencing. Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan. 

Kejadian itu turut tersebar di media sosial mengundang kemarahan netizen yang mengkritik cara penyelia terbabit menangani kes itu. Menurut netizen, pihak pasar raya sepatutnya menghubungi ibu bapa kanak-kanak itu, bukannya mengambil tindakan sendiri. 

No comments