'Dia nak batal, batallah Prinsip kita adalah, Israel adalah 'negara' pengganas' - PM
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak terkejut dengan keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang membatalkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 selepas Malaysia tidak membenarkan atlet Israel masuk ke negara ini.
Beliau berkata, Malaysia akan kekal dengan pendiriannya bahawa Israel adalah pengganas.
"Dia nak batal, batallah. Kita berpegang kepada prinsip kita. Prinsip kita adalah Israel adalah 'negara' penjenayah. Mereka melanggar undang-undang antarabangsa dan tidak ada sesiapa berkata apa-apa.
"Kita ada hak untuk menyuarakan suara dan perasaan kita, serta kita mempunyai dasar kita sendiri.
"Keputusan sesebuah negara untuk tidak membenarkan warganegara lain masuk ke negara mereka adalah normal seperti yang dilakukan oleh Amerika Syarikat terhadap warga dari lima negara Islam sebelum ini.
"Kenapa kita tidak boleh buat pada Israel? Kita ada alasan. Orang ini bukan mahu mendapatkan suaka, takut, sakit, susah. Ini bukan orang susah. Mereka datang dari 'negara' yang tidak patuh kepada undang-undang antarabangsa dan kita perlu berpegang kepada pendirian kita.
"Saya dapati dunia terpaksa ikut Israel. Saya tak fahamlah sebab dunia ada kuasa tetapi terpaksa ikut Israel. Kita tidak ikut," katanya.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment