'Sebelum giliran saya mesin itu berbunyi dan doktor kata awak dah tak ada'
Seorang penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) maut dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban menghala ke pusat bandar, di sini, malam Selasa.
Dalam kejadian jam 9.02 malam, mangsa, Aiman Hafizi Sharifuddin, 20, maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR berada di lorong tengah laluan telah mengubah haluan ke lorong kanan menuju ke Terowong Smart sebelum cuba mengubah semula laluan ke lorong tengah.
"Semasa ingin masuk ke lorong tengah, mangsa telah terlanggar pembahagi jalan dan menyebabkannya terjatuh. Sebuah teksi yang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun yang berada di belakang mangsa bagaimanapun gagal mengelak dan telah melanggar mangsa," katanya.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk rawatan tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 5 pagi.
Polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, teman wanitanya, Nisa, meluahkan rasa sedihnya di Twitter membuatkan netizen sayu dan pilu.
"Sayang, saya tunggu awak dekat hospital dari malam tadi sampai pagi tadi. Saya tahu awak kuat, sebab itu saya yakin awak boleh sedar.
"Tapi jam lima pagi, masa semua orang tengah berbisik di telinga awak bagi semangat, sebelum giliran saya mesin itu berbunyi. Kemudian doktor kata awak dah tak ada," tulisnya.
Adik beradik Aiman juga turut meluahkan rasa sedih mereka dengan pemergian Aiman yang dikatakan adik/abang lelaki dalam keluarga mereka.
"Al-fatihah sayang kakak. Aiman budak baik, semua orang sayang Aiman. Tidur lena sayang. Aiman, kau pergi dengan ramai orang keliling kau man. Kau jangan risau man, kau tak seorang dekat sana. Naqiu tunggu kau man. Kau rindu dia kan? Nanti tunggu kami pula ya Aiman?
"Aiman nampak kan tadi ramai orang ziarah Aiman? Alhamdulillah sayang. Semua cakap Aiman budak baik tau. Kakak rasa bertuah sangat Allah pinjamkan Aiman sekejap untuk jadi adik kakak. Kakak janji selalu lawat awak ok. Jenguk kakak selalu tau sayang," tulis kakaknya, Atitah.
"Ya Allah, aku rasa bersyukur sebab hidup aku lengkap dengan kehadiran seorang mama, abah, akak, abang dan adik. Tapi hari ini, 31 Oktober 2018, Aiman Hafizi pergi tinggalkan kami.
"Bilangan adik beradik makin berkurangan. Aku ada seorang abang saja. Tak ada abang lain Man, we love you," tulis adiknya, @ftinnjiha.
Netizen turut bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan langgar lari ini, selain mendoakan agar keluarganya tabah menerima dugaan ini.
Post a Comment