Pemberian subsidi buat seseorang itu tak mampu berfikir dan berdikari, Najib dakwa PM hina rakyat
Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan memberi bayang bahawa kerajaan tidak akan memberi subsidi lagi kepada rakyat terutama perusahaan kecil dan sederhana di negara ini.
Beliau berkata, pemberian subsidi hanya akan membuatkan seseorang itu tidak mampu berfikir dan tidak boleh berdikari.
"Lihat saja kerajaan terdahulu (Barisan Nasional), mereka memberi wang kepada golongan miskin dan golongan itu tidak perlu bekerja. Walaupun tidak bekerja, tetap mendapat RM500 (Bantuan Rakyat 1Malaysia).
"Jika Malaysia terus menjadi sedemikian, tidak lama lagi semua orang tidak akan mampu berfikir, tidak boleh bergerak dan tidak boleh melakukan kerja dengan sendiri kerana terlalu bergantung kepada subsidi," katanya.
Bagaimanapun, kenyataan Mahathir itu dikritik oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkan kenyataan itu sebagai penghinaan kepada rakyat.
"Hari ini keluar kenyataan bahawa kerajaan bayangkan untuk hentikan subsidi, kononnya ia sebabkan rakyat tak mampu fikir, jadi malas tak boleh berdikari, duduk tak buat kerja pun boleh dapat duit.
"Setiap hari rakyat dihina. Apa sebenarnya kerajaan hari ini buat untuk negara, untuk rakyat Malaysia?
"Kita buat adalah sebagai social safety net, untuk bantu mereka lengkapkan apa yang mungkin kurang daripada pendapatan harian mereka.
"Inikah yang dimaksudkan subsidi buat rakyat tak mampu berfikir?" soalnya.
Sementara itu di media sosial, netizen mendakwa Najib cuba menimbulkan kemarahan rakyat dengan tindakannya yang mempertikaikan segala apa usaha kerajaan untuk membangunkan rakyat. Sedangkan pada zaman beliau menjawat jawatan Perdana Menteri, subsidi petrol dan beberapa lagi subsidi barangan asas yang lain dihapuskan. Malah memperkenalkan cukai GST sehingga rakyat terpaksa membayar lebih untuk membeli barang keperluan.
Netizen juga mendakwa, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia hanyalah untuk tujuan populis dan bukannya niat membantu rakyat yang benar-benar memerlukan.
Sumber: Sinar Harian, MalaysiaKini
Post a Comment