Berang isteri tak bagi duit, bapa cekik dan belasah anak berusia 4 tahun
Berang dengan isteri yang tidak memberikan wang yang diminta, lelaki berusia 26 tahun tergamak mencekik dan membelasah anak lelakinya berusia empat tahun, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian jam 8 pagi Rabu lalu di Kampung Feri, Jalan Menawo, Keningau, Sabah, suspek juga dikatakan cuba melempar mangsa ke tengah jalan besar yang pada ketika itu dilalui banyak kenderaan. Tetapi sempat dihalang oleh abang iparnya.
Difahamkan sebelum kejadian itu, suspek pergi menemui isterinya yang menumpang di rumah abang iparnya berikutan pasangan berkenaan sedang dalam proses perceraian.
Bagaimanapun, si isteri enggan memberi wang yang diminta menyebabkan suspek terus mengamuk dan bertindak menarik anaknya dan diheret ke jalan besar kira-kira 50 meter dari rumah.
Orang awam yang melihat kejadian itu segera menahan suspek dan menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
Akibat dari kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di leher dan dihantar ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, Asisten Superintendan Lee Nyuk Kim berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa bersama ibu dan adik lelakinya yang berusia 18 bulan tinggal bersama bapa saudaranya di tempat kejadian.
Suspek juga tidak bekerja dan segala perbelanjaan keluarga itu sebelum ini ditanggung oleh isterinya.
Suspek kini ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Post a Comment