'Kami tak perlukan menteri angkuh, tak boleh buat kerja' - Persatuan Teksi bengang dengan Anthony Loke


Pemandu teksi akan mengadakan perhimpunan aman, Reformasi Teksi serentak di seluruh negara sebagai protes berikutan mereka mendakwa Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mengelak mengadakan pertemuan dengan persatuan mereka.

Yang Dipertua Gabungan Teksi Se'Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain berkata, pertemuan ini dijangka menjadi perhimpunan terbesar pemandu teksi untuk menuntut hak agar tidak terus di anak tiri di negara sendiri.

Menurutnya, persatuan memohon untuk bertemu Menteri bagi menyelesaikan pelarasan tambang, komisen, menetapkan peraturan yang adil  antara teksi dengan e-hailing.

"Selepas perhimpunan itu, jika Menteri masih enggan bertemu, kami nekad mengadakan Reformasi Teksi 2 di Kuala Lumpur pada hari Mesyuarat Agung DAP nanti," katanya kepada pemberita dalam sidang media hari ini.

Hadir sama dalam sidang media itu, Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail dan wakil-wakil persatuan teksi.

Kamrudin berkata, Reformasi Teksi 2 akan menyaksikan semua pemandu teksi di seluruh negara berhimpun di jalan raya menuntut peletakan jawatan Siew Fook sebagai Menteri.

"Kami tak perlukan Menteri yang tak boleh buat kerja dan yang tak boleh menyelesaikan masalah kami, Menteri yang angkuh dan selalu memutar belit fakta.

"Bahkan sehingga ke hari ini kami tak nampak usaha yang beliau buat untuk menaiktaraf industri teksi melainkan hanya menjadi saudagar nombor pendaftaran kenderaan dan mempolitikkan isu e-hailing," katanya.

Kamarudin berkata, pihaknya tidak berhasrat memohon permit daripada pihak berkuasa bagi menganjurkan Reformasi Teksi.

Kamarudin memberitahu, pihaknya akan pergi ke setiap negeri bertemu persatuan teksi untuk memaklumkan tentang perkara ini dan bekerjasama dengan mereka.

Sementara itu, Shamsubahrin berkata, Reformasi Teksi ini diadakan memandangkan menteri berterusan mengelak daripada bertemu dengan pihaknya.

"Pertemuan dengan menteri telah lama dibuat melalui platform yang betul, kami hantar surat dan sebagainya.

"Tapi sehingga kini, usaha itu masih gagal. Menteri seperti tidak profesional dalam hal ini. Timbalannya juga begitu, kenapa mengelak daripada bertemu kami.

"Apa yang cuba diselindungkan oleh kementerian sehingga enggan bertemu kami," katanya. - Sinar Harian

No comments