Bayi 9 bulan maut didera suami pengasuh secara fizikal dan seksual
Akibat didera suami pengasuh secara fizikal dan seksual, seorang bayi berusia 9 bulan dilaporkan maut selepas dua hari bertarung nyawa di hospital.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner AHmad Dzaffir Mohd Yusoff mengesahkan pihaknya menerima laporan dari pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Serdang yang menerima mangsa sebagai pesakit pada jam 3.05 petang, Rabu lalu.
"Ketika dihantar ke hospital terbabit oleh ibu bapanya, mangsa dalam keadaan kritikal dan diberikan bantuan pernafasan. Pemeriksaan pihak hospital mendapati terdapat kesan koyakan baru pada himen dan dubur mangsa.
"Pihak hospital juga mengesahkan mangsa meninggal dunia 10.30 pagi semalam, selepas dua hari dirujuk ke Hospital Serdang.
"Laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kesan objek tumpul di kepala dengan tempurung kepala bayi terbabit pecah, selain kesan lebam pada bahagian atas kepala mangsa.
"Selain itu, terdapat juga kesan penderaan seksual terhadap bayi berkenaan," katanya.
Difahamkan, ibu bapa mangsa telah memberikan amanah kepada pengasuh berkenaan untuk menjaga bayi mereka sejak September lalu. Ketika mangsa dihantar ke rumah pengasuh pada waktu pagi, mangsa dalam keadaan baik, tetapi di sebelah petang mangsa mengalami kesesakan nafas dan terus dibawa ke Klinik Bandar Baru Bangi sebelum dirujuk ke Hospital Serdang.
Susulan itu, polis telah menahan pengasuh, 28, dan suaminya, 36, bekerja sebagai penggunting rambut untuk siasatan lanjut.
"Suami pengasuh yang bekerja sebagai penggunting rambut dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang semalam dan tempoh reman terhadap suspek dibenarkan selama lima hari sehingga 13 November ini. Ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif methaphetamine," katanya.
Sementara itu, pengasuh itu dibebaskan, semalam.
Kes itu pada awalnya diklasifikasikan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. Namun, selepas mangsa meninggal dunia, kes itu diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment