'Jangan bagi kunci kereta dan terus report polis' - Wanita dakwa nyaris diculik empat lelaki menyamar sebagai wakil pihak bank


Seorang wanita mendakwa dirinya hampir menjadi mangsa culik empat lelaki berbadan sasa (sado) yang berpura-pura menyamar sebagai wakil dari pihak bank yang datang untuk menarik keretanya yang didakwa sudah beberapa bulan tidak dibayar. 

Enggan terus percaya, pengadu tidak memberikan kerjasama sepenuhnya. Sebaliknya dia cuba menghubungi suami dan beberapa lagi kenalan lain untuk meminta bantuan. Malangnya tiada seorang pun yang dapat dihubungi. 

Berhati-hatilah semua khususnya golongan wanita agar tidak mudah percaya dan terperdaya dengan helah individu-individu yang tidak bertanggungjawab seperti ini. Ambil iktibar dari kejadian yang berlaku. 

JAM 6.00 petang, 3 April 2018, Kuala Terengganu. Allah Allah Allah, rupanya saya hampir diculik semalam. Kepada yang memandu kereta, berhati-hati dan jangan percaya. 

Al kisahnya, semalam saya pergi Spa dengan anak saya dari jam 2 petang dan siap pada jam 6 petang. Tengah syok-syok baring di atas katil Spa, ada seorang lelaki ketuk pintu dan menekan loceng. Pekerja Spa ini pula adalah kawan saya dan dia pun pergi buka pintu itu dan bertanya pada lelaki itu hendak mencari siapa? 

Lelaki berbadan sado dan memakai gelang itu berkata, "Saya nak jumpa dengan tuan kereta, ada hal sikit," katanya. 

Kawan saya pun beritahu saya yang ada seorang lelaki nak berjumpa dengan saya. Saya terus menggelabah, lelaki mana pula yang nak berjumpa dengan saya? Memang saya berdebar sangat, kalau saya berdebar mesti ada sesuatu yang tidak kena atau ada perkara buruk yang akan berlaku berdasarkan pengalaman-pengalaman saya sendiri sebelum ini. 

Saya pun bersiap pakai niqab semua dan anak saya pada ketika itu sedang tidur lena. Ada hikmahnya kenapa anak saya tidur dan ada hikmahnya kenapa anak saya nak ikut saya pergi ke Spa semalam. Kalau tak ada dia, mungkin saya sudah 'diangkut' semalam. 


Semasa saya keluar, saya tengok lelaki itu ada empat orang dan kesemua mereka berbadan sasa. Saya tidak pasti berapa orang dalam kereta sebab dia hanya buka ruang tingkap yang sikit sahaja. Saya intai, tak nampak muka dua orang lagi di bahagian hadapan. 

Lelaki yang mengetuk pintu itu datang menghampiri saya. 

"Ini kereta siapa?" soalnya sampai menunjuk ke arah kereta saya. 

"Kereta saya,"

"Siapa yang bayar?" soalnya. 

"Suami saya yang bayarkan."

"Suami kerja apa?" tanyanya. 

"Suami kerja mengajar dan imam di masjid sini," jawab saya. 

Kemudian dia pun meminta nombor telefon suami dan saya pun beri seperti yang dia minta. Dia kata dia akan berurusan dengan suami saya. Kemudian dia bertanya lagi tentang hak pemilikan kereta ini di bawah nama siapa dan sebagainya atas alasan kereta ini ada tunggakan selama lima bulan. Saya terkejut dan menegaskan yang saya sudah membuat pembayaran setiap bulan. 

Enggan membuang masa, lelaki itu meminta kunci kereta dan menyuruh saya masuk ke dalam kereta. Saya yang masih keliru pada masa itu tertanya-tanya kenapa dia suruh saya masuk ke dalam kereta. Bila saya tidak menuruti arahannya, dua rakannya keluar dari kereta. 

Saya pun minta mereka menunggu sekejap, saya nak masuk semula ke dalam Spa sebab anak saya sedang tidur.

"Haa ada anak? Okey, bawa anak sekali masuk dalam kereta. Kita berbincang dalam kereta" katanya. 

Untuk apa berbincang dalam kereta? Memang saya sangat keliru dan tidak memahami apa yang mereka mahukan. 

"Okey, sekejap saya nak ambil anak. Saya belum lagi buat pembayaran pada pekerja," saya kata. 

"Okey, pergi, saya tunggu," kata lelaki itu. 

Masuk saja ke dalam Spa, saya menggelabah dengan kawan saya itu. Apa yang patut saya lakukan? Dari tak pandai speaking, tiba-tiba jadi speaking dengan kawan. Kawan meminta saya cuba bertenang tetapi tak dapat. Empat orang lelaki berbadan sasa kot yang sedang menunggu saya. Dengan keadaan tiada orang di luar dan semua kedai-kedai berhampiran pula ditutup. 

Saya cuba menghubungi suami tetapi gagal, kredit tidak mencukupi. Cari top up dalam handbag, anak pula pergi buang. Saya menghubungi suam idari WhatsApp, suami pula tak buka mobile data. Sayan ak pinjam telefon kawan tetapi telefon dia pula tak ada kredit. Bila saya menghubungi kakak saya di Kuantan, Pahang, kakak tak jawab pula. Akhirnya saya terus menghubungi abang saya di UTK Bukit Aman. 

Malangnya, abang saya tak jawab. Saya hanya tinggalkan mesej pada dia.

"Abang Azhar, tolong jawab panggilan. Ini Ilah, urgent! Nanti Abang Azhar call Ilah balik." 

Tunggu punya tunggu, lelaki itu datang semula mengetuk pintu premis. Kawan saya buka dan dia tanya lambat lagi ke nak tunggu saya? Kawan saya cuba berdalih dan mengatakan saya sedang cuba mengejutkan anak saya. 

"Anak dia tak nak bangun. Menangis sebab tak puas tidur," katanya. 

Lelaki itu pun mengiakan dan masih menunggu saya di luar premis. Saya pun memberanikan diri untuk keluar semula dan berjumpa dengan lelaki-lelaki itu. Sebelum saya keluar, saya suruh kawan saya ambil nombor telefon suami saya.

"Kalau ada apa-apa terjadi pada saya, awak terus hubungi suami saya banyak kali sampai dia jawab panggilan."

Saya pun keluar, tiba-tiba ada seorang lagi lelaki keluar pakai kopiah. Biasalah masyarakat kita ini bila tengok lelaki berkopiah terus dilabelkan sebagai orang baik, soleh dan alim. Tetapi berhati-hati. 

Saya keluar dan tanya apa kesudahan kes ini. 

"Anak saya tak nak bangun. Macam inilah, encik semua follow saya dari belakang dan ikut saya balik ke rumah untuk berbincang sendiri dengan suami," kata saya. 

Dia menolak dan kata perbincangan boleh dibuat di situ dan sekali lagi dia meminta kunci kereta saya. Tetapi saya kata kunci kereta ada di dalam. 

Akhir sekali semasa saya masuk ke dalam Spa, ada panggilan dari Abang Azhar dan saya terus jawab lalu menceritakan tentang kejadian tersebut. Abang Azhar nasihatkan agar jangan mudah terperdaya dan mengikut sekumpulan lelaki berkenaan, malah kunci juga tidak sepatutnya diberikan kepada lelaki terbabit. 

"Jangan ikut, jangan bagi kunci. Tolong snap gambar mereka, gambar plat kereta mereka dan hantarkan kepada saya, "katanya.

Saya tak sempat merakam gambar mereka sebab telefon sedang dicas. Lelaki itu tadi datang semula dan ketuk pintu. Mungkin dia sudah sedar yang saya menghubungi kenalan untuk meminta bantuan. 

"Adik, saya minta maaf ye. Kereta adik, saya sudah semak dan rupanya adik sudah bayar," katanya sambil senyum manis. 

Empat orang lelaki terbabit nampak seperti gangster dan memakai rantai dan gelang. Tetapi mereka cakap dengan lemah lembut. Kalau dengan perempuan lain, agaknya mesti dah cair, mesti percaya bulat-bulat. 

Selepas dia meminta maaf, saya pun tanya, "Boleh saya tahu encik semua ini siapa?". Dia senyum dan kata, "Saya wakil dari pihak bank," sebelum dia berlalu pergi begitu sahaja. 

Selepas mereka beredar, saya tertanya-tanya kenapa dia suruh saya masuk ke dalam kereta, kenapa nak kunci kereta? Kenapa nak bawa anak sekali? Masa itu pula dapat mesej dari suami. 

"Sayang, lambat lagi ke nak balik? Abang dah lapar ni," katanya. 

Inilah suami, isteri sedang berdepan dengan maut, dia boleh lagi mesej lapar.

Jadi saya terfikir semuala kenapa dia nak minta nombor terlefon suami dan beberapa lagi maklumat penting lain. Saya rasa mungkin dia buat-buat minta nombor telefon suami saya dan kemudian kononnya dia suruh berurusan dengan suami. Jadi, mungkin suami saya suruh bagi kunci bagai. Entahlah, banyak sangat pertanyaan dalam kepala semalam. 

Balik ke rumah sya cerita kejadian itu pada suami. Suami kata mungkin individu itu menyamar. 

"Bahaya la awak ni. Lain kali jangan keluar. Orang nak jumpa, jangan jumpa melainkan abang ada. Ini pesan abang, risau dah abang kat awak bila jadi begini," kata Abang Azhar.  

Saya juga ceritakan kejadian  ini kepada kakak saya dan dia minta pandangan kakitangan bank. Boleh tengok screenshot perbualan kakak saya dengan pihak bank.



Sekarang saya tengah fobia dan sebenarnya saya tak nak viralkan hal ini. Tetapi ramai sangat minta saya viralkan agar semua boleh berjaga-jaga selepas ini. 

Yang juga menimbulkan persoalan saya, kereta saya diletak di tempat letak kereta tidak jauh dari Spa. Tetapi bagaimana lelaki itu boleh tahu saya ada di dalam premis Spa? Adakah dia mengekori saya sejak dari awal? 

Semoga kita semua lebih berhati-hati selepas ini. Jangan terlalu mudah untuk percayakan orang. Biasa sebelum ini tiap-tiap keluar rumah, saya akan baca ayat kursi. Tetapi semalam saya terlupa nak baca. Sehingga ke hari ini, perasaan debar itu masih belum hilang. 

No comments