‘Aku Tak Akan Mati…’ Mona Fandey ‘dihidupkan’ kembali dalam ‘Dukun’
Setiap wanita inginkan kebahagian dalam hidupnya dan mengharapkan agar dapat menghabiskan waktu-waktu terakhir dengan ketenangan. Namun, kita sebagai manusia biasa tidak dapat menolak apa yang bakal terjadi pada diri kita. Jika kita memilih jalan yang benar dan diredhai, sudah pasti ketenangan yang akan kita nikmati dan sebaliknya jika kita memilih jalan yang dimurkai, sudah pasti kesengsaraan yang akan diperolehi.
Apabila menyebut nama Maznah Ismail, sudah pasti kita tertanya-tanya siapakah gerangan pemilik nama ini? Namun apabila disebut sahaja nama Mona Fandey, pelbagai kisah tentang dirinya terimbas kembali. Siapa sahaja mengetahui kisah yang mengejutkan Negara pada ketika itu.
Kes pembunuhan berprofil tinggi yang melibatkan seorang ahli politik, Mona Fandey, suaminya Affandi dan seorang pembantu iaitu Juraimi. Kes pembunuhan ini tercatat sebagai pembunuhan paling kejam di Malaysia ketika itu berikutan penemuan tubuh Datuk Mazlan yang telah dikerat kepada 18 bahagian dan ditanam menggunakan simen.
Pembunuhan ini juga dikaitkan dengan unsur-unsur pemujaan. Perbicaraan yang melibatkan kes pembunuhan ini yang mengambil masa selama 69 hari itu merangkumkan kesemua kisah ilmu hitam, wang dan politik.
Pada Julai 1993, polis mula bertindak setelah menerima aduan bahawa Datuk Mazlan yang ketika itu merupakan anggota Dewan Undangan Negeri Pahang gagal dihubungi.
Sebelum kejadian, Datuk Mazlan Idris telah meminta perkhidmatan Mona Fandey, Affandi dan Juraimi untuk membantunya meningkatkan lagi kerjaya politiknya.
Pasangan bomoh itu telah merancang pembunuhan itu sebulan sebelumnya. Juraimi telah diarahkan untuk mengasah kapak bagi memancung kepala Mazlan. Affandi dan Mona juga mengasah sebilah pisau yang digunakan untuk memotong tubuh Mazlan kepada 18 bahagian. Wang tunai dikatakan antara motif pembunuhan dan digambarkan pasangan ini kesempitan wang.
Kita hanya digemparkan dengan kes jenayah yang dilakukannya tanpa mengetahui peribadinya yang sebenar. Mona Fandey memulakan kerjayanya pada tahun 1987 sebagai seorang penyanyi dan pernah mengeluarkan album pertama yang bertajuk ‘Diana’ dan terkenal menerusi lagu ‘Ku Nyanyikan Lagu Ini.’
Dia dikatakan mula beralih ke arah bidang perubatan tradisional setelah tidak mampu menyanyi dengan baik. Mona Fandey dikatakan seorang wanita yang ayu dan juga seorang isteri yang sangat mencintai suaminya. Dia pernah menyatakan bahawa hidup dan matinya bersama suaminya. Dan ternyata kata-katanya itu adalah benar. Mereka berdua dihukum gantung sampai mati di atas kesalahan membunuh.
"Saya hanya nak senyum." itu kata-kata terakhir Mona Fandey ketika disoal apakah yang akan dibuatnya untuk menghabiskan sisa-sisa waktu di penjara ketika disoal oleh wartawan Utusan.
Wartawan Malaysian Digest pula pernah menemubual seorang Pegawai Penjara Wanita Kajang, Sarjan Azizah untuk mengetahui peribadi sebenar Mona Fandey semasa menjadi banduan akhir di penjara berkenaan. Beliau berkata Mona merupakan seorang yang sangat gemar berbual. Mona seringkali bercerita tentang anak-anaknya, bekas suami, suami kini, resepi masakan dan banyak lagi.
Menurut Sarjan Azizah, kakitangan penjara pada ketika itu rata-ratanya mengelak untuk menguruskan rutin harian Mona kerana bimbang dengan ‘ilmu hitam’ yang dimilikinya. Beliau bagaimanapun kagum dengan sikap Mona yang menjaga solat lima waktunya. Dan Mona juga dikatakan tidak pernah meninggalkan solat sunat, wirid dan mengaji Al-Quran.
Sarjan Azizah juga memuji sikap Mona Fandey yang dilihat sebagai seorang wanita yang sopan apabila bercakap. Mona juga sangat peramah dan menjaga adab dalam percakapannya dan dia juga tidak pernah sekalipun bercakap buruk mengenai orang lain.
Kisah Mona ketika itu menjadi topik hangat di dada akhbar sehinggakan ada yang mendakwa dirinya boleh mengapungkan badan, membaca surah Al- Fatihah secara terbalik dan boleh keluar dari sel menuju ke Chow Kit. Namun Mona menafikan semua dakwaan itu dan menyatakan perkara itu di luar jangkaannya.
Mona Fandey merupakan OKT (Orang Kena Tuduh Ketiga). Pada hari kejadian, dikatakan Mona hanya sekadar mendapat arahan daripada Affandi untuk keluar memetik bunga sebelum satu upacara mandi bunga bersama mangsa dijalankan. Mona juga tidak mengetahui pembunuhan yang akan berlaku pada malam kejadian.
Ujar Sarjan Azizah, Hakim telah mempertimbangkan rayuan dari peguambela Mona untuk membebaskan Mona. Peguambela tersebut juga telah memujuk Mona untuk pulang bersama anak-anak tetapi Mona memilih untuk menjalani hukuman bersama suaminya. Bekas suaminya yang juga seorang anggota polis menyatakan perihal Mona.
“Mona nak bunuh semut pun tak sampai hati. Waktu nak siang ikan pun dia menangis, apatah lagi nak kerat manusia.”
Melalui penceritaan daripada Sarjan Azizah, kita dapat melihat keperibadian Mona Fandey yang sebenar semasa di dalam penjara. Namun, ada juga cerita yang mendakwa Mona Fandey sememangnya memiliki ilmu hitam. Kisah ini berlaku kepada seorang wartawan perempuan yang ingin menemubualnya di penjara.
Sebelum itu, Mona Fandey telah berpesan kepadanya agar tidak menokok tambah cerita. Namun, apa yang mengejutkan, pada malam tersebut wartawan tersebut mengigau sehinggakan dia menghempas mukanya di lantai tandas.
Senjata yang digunakan ketika kejadian |
Semasa hari perbicaraan juga, ketika Pakar Forensik sedang memberikan keterangan mengenai mayat yang telah dikerat kepada 18 bahagian, secara tiba-tiba mahkamah digemparkan dengan satu bunyi yang aneh dan menakutkan. Menurut sumber yang dipetik dari Utusan Online, bunyi itu seperti bunyi itik peliharaan Mona yang mempunyai baka Jawa. Bunyi-bunyi itu seolah-olah memberi petanda itik-itiknya mati kelaparan.
Kisah yang penuh mistik dan persoalan ini kini menjadi perbualan netizen ketika ini. Ini kerana sebuah filem yang bertajuk ‘Dukun’ arahan pengarah terkenal iaitu Dain bakal menjengah di pawagam pada Khamis, 5 April 2018 ini.
Filem ini merupakan kisah yang diadaptasi daripada kisah benar kes pembunuhan berprofil tinggi yang melibatkan ahli politik dan Mona Fandey. Filem ini berkisarkan tentang pembunuhan seorang ahli politik yang dilakukan oleh seorang penyanyi Malaysia yang popular pada tahun 1993.
Filem ini sepatutnya ditayangkan pada tahun 2007, tetapi diharamkan tayangannya oleh LPF kerana jalan ceritanya dikatakan mengundang kontroversi serta menyinggung perasaan keluarga pihak terbabit.
Menurut Penerbit Eksekutif Astro Shaw, Dominique Hee, banyak persoalan menarik di sebalik jenayah kejam itu. Ia tidak hanya menjurus kepada Mona Fandey semata-mata namun persoalan yang menarik adalah kepercayaan kita kepada dukun, tidak kira dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina, India, atau mana-mana sahaja di dunia ini percaya kepada dukun.
Tambah beliau, dia menengahkan pengaruh dan kuasa seorang dukun serta ilmu hitam kerana kedua-duanya adalah persoalan atau isu universal.
Antara babak yang dikatakan mempunyai persamaan dengan kisah Mona Fandey ini adalah pada permulaan cerita dipaparkan mengenai asal usul tongkat sakti yang menjadi hak milik bomoh di Batak Sulawesi. Tongkat, tangkal dan songkok merupakan barang azimat yang dimiliki oleh Affandi iaitu suami kepada Mona Fandey. Barang-barang tersebut dipercayai pernah menjadi milik Presiden Sukarno dan barang-barang itu dikatakan memiliki kuasanya tersendiri.
Pelakon utama cerita ini, Umie Aida juga mengatakan untuk menjayakan watak ini, dia telah membeli seekor ular kerana mahu memahami pergerakan dan sifatnya. Dia juga difahamkan, Mona Fandey pernah ke Indonesia untuk menuntut ilmu ular. Penggambaran filem ini dijalankan di Penjara Pudu dan terdapat babak yang dikaitkan dengan seorang wartawan perempuan yang menemubual Mona Fandey di penjara. Namun, jalan cerita ini diubah sedikit dan watak seorang peguam lakonan Faizal Hussein dimasukkan did alam babak ini.
Benar atau tidak kisah di sebalik penceritaan Mona Fandey ini, terserah pada pembaca untuk menilainya sendiri. Filem ‘Dukun’hanya sebuah naskhah yang diadaptasi menjadi sebuah filem. Sudah pastinya, naskhah tersebut diubah dan diolah untuk menjadikan jalan cerita tersebut lebih menarik.
Post a Comment