'Sumpah saya tak halalkan, buat saya lebih benci kepada politik' - Gadis kesal gambar disalahgunakan untuk tujuan politik


Seorang gadis membuat laporan polis dan mempertimbangkan tindakan undang-undang, selepas mendapati gambarnya digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab secara mengubah suai sebagai kempen politik sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pemilik akaun twitter, Aidaazira, 19, berkata dia sama sekali tidak menyangka parti politik tertentu mengambil kesempatan ke atas remaja sepertinya dan menggunakan gambar peribadinya sebagai poster tanpa kebenaran.

Dia mengaku malu serta tertekan apabila ramai rakan termasuk pensyarah, bertanyakan mengenai gambar berkenaan apabila ia viral sejak semalam dan lebih menyedihkan, hari ini turut menjadi gambar muka depan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan.


"Jika nak berkempen pun, jangan babitkan orang yang langsung tiada kena mengena dengan politik.

"Sudahlah mencuri gambar orang, kemudian buat poster... nak kempen, kempen sajelah, tak payah letak gambar kononnya suruh orang jangan cari bini mudalah, apalah," katanya menerusi catatan pada laman Twitternya, @aidaazirx_.

Aidaazira yang mempunyai 2,812 pengikut Twitter itu, berkata susulan kejadian terbabit, dia sudah membuat laporan polis berhubung penyalahgunaan gambar berkenaan bagi membersihkan namanya.

"Saya mahu pihak yang mencuri gambar peribadi itu tampil meminta maaf kerana apa yang mereka lakukan sudah melampaui batas.

"Sumpah saya tidak halalkan. Kejadian ini membuatkan saya menjadi lebih benci kepada politik," katanya.

Sementara itu, seorang model wanita turut kesal gambarnya yang diambil lima tahun lalu disunting dan disalahgunakan oleh pihak bertanggungjawab bagi tujuan kempen parti politik.

Wendy Lean menerusi kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebooknya, menafikan dia serta seorang lagi model berkempen untuk parti politik dan hanya mengetahui mengenai penyebaran gambar itu selepas dimaklumkan rakan-rakan.

"Saya ingin menjelaskan di sini bahawa saya tidak menggalakkan orang ramai atau berkempen untuk parti politik. Gambar itu sudah disunting secara 'photoshop'.

"Gambar itu diambil kira-kira lima tahun lalu untuk sebuah syarikat pengimejan dan ketika itu kami (bersama seorang lagi model wanita ) memegang papan tanda 'Like'.


"Saya terkilan dan sama sekali tidak menyangka gambar itu diedit dan disalah guna untuk tujuan kempen politik sempena PRU-14 ini," katanya.

Wendy berkata, ekoran penyebaran gambar itu, dia menghubungi syarikat pengimejan berkenaan dan mendapat pengesahan bahawa gambar yang dimiliki syarikat terbabit sama sekali tidak boleh digunakan untuk tujuan politik.

"Saya harap masyarakat tidak terpedaya dan berhentilah menyebarkan gambar berkenaan," katanya.

No comments