(Video) Kanggaru mati dibaling dengan batu oleh pengunjung zoo


Seekor kanggaru betina terbunuh, manakala seekor lagi kanggaru jantan mengalami kecederaan selepas dibaling dengan batu bata oleh pengunjung di sebuah zoo di China, hanya semata-mata mahu menarik perhatian haiwan tersebut. 

Kanggaru betina berusia 12 tahun itu mengalami kecederaan serius di bahagian kaki kerana dilempar dengan batu-bata dan bongkah konkrit pada 28 Februari lalu di Zoo Fuzhou, wilayah Fujian. 


Beberapa hari kemudian, doktor haiwan mengesahkan kanggaru betina itu mati dan punca kematiannya adalah disebabkan buah pinggang haiwan marsupial itu rosak selepas dibaling dengan objek-objek oleh pengunjung zoo tersebut. 

Selepas beberapa minggu kemudian, seekor lagi kanggaru jantan turut mengalami kecederaan akibat perbuatan yang sama di mana pengunjung zoo tersebut sering mengacah haiwan yang berasal dari Australia itu memberikan pergerakan seperti melompat. 

Difahamkan, tiada sebarang tangkapan dibuat terhadap individu yang melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu. 

Menurut pihak zoo, bangkai kanggaru berkenaan akan diawet dan dipamerkan di zoo berkenaan. Pihak pengurusan zoo juga berjanji akan memasang kamera keselamatan bagi memastikan pengunjung tidak mengancam haiwan-haiwan yang berada di zoo itu. 





Zoo dan taman hidupan liar di China sering menjadi lokasi perbuatan manusia yang tidak beretika dan tiada belas kasihan. Ini termasuk cara haiwan-haiwan itu dikurung dan dijaga mahupun tindakan pengunjung yang melampau.

Sebelum ini, pengunjung sebuah zoo lain ketakutan apabila menyaksikan sekumpulan harimau menyerang dan membunuh seekor keldai yang sengaja dilepaskan oleh pelabur.

Pelabur itu berbuat demikian kerana tidak puas hati dengan hal ehwal perniagaan di zoo tersebut.

Beberapa bulan lalu pula, seorang pengunjung zoo di Ningbo, selatan Shanghai, maut selepas dibaham harimau di dalam sebuah kandang yang diceroboh masuk.

No comments