Kanak-kanak pakai gelang getah terlalu lama sehingga bercantum dengan lengan


Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun terpaksa dibedah selepas gelang getah yang dipakaikan di lengannya untuk jangka masa lama telah bercantum dengan tangannya, lapor Daily Mail.

Mangsa yang dikenali sebagai Le Le, memakai gelang getah itu untuk jangka masa yang terlalu lama sehingga menyebabkan perkara itu berlaku. 

Menurut laporan media tempatan, gelang getah itu telah bercantum dengan tangannya lebih kurang enam bulan sejak tahun lalu. 

Difahamkan, Le Le tinggal bersama datuk dan neneknya di Linquan, wilayah Anhui, China, sementara ibu bapanya tinggal dan bekerja di wilayah lain. 

Menurut datuk dan neneknya, mereka hanya menyedari lengan Le Le membengkak pada Januari lalu. Malah Le Le juga ada mengadu lengannya terasa sakit dan kebas. 

Ibu bapanya yang bimbang melihat keadaan tangan kanan Le Le yang bengkak dan kemerah-merahan akhirnya membawa Le Le ke sebuah hospital sebelum dirujuk ke Hospital Kanak-Kanak. 

Doktor Ye Wensong berkata, tangan Le Le yang bengkak itu disebabkan oleh gelang getah. Imbasan ultrasonography mengesahkan perkara itu dan Le Le terus menjalani pembedahan yang berlangsung selama 30 minit bagi mengeluarkan gelang getah tersebut. 






Menurut Dr. Ye, dia hanya pernah melihat kejadian seperti ini 20 tahun lalu sepanjang bekerja sebagai doktor. Dia juga menasihatkan ibu bapa tidak membiarkan anak-anak mereka terutamanya yang berusia tiga tahun bermain dengan gelang getah, apatah lagi memakainya di pergelangan tangan dan lengan. 

No comments