'Hampir setiap bulan dia demam dengan suhu tinggi disebabkan tonsilnya' - Ibu beri peringatan, jangan ambil mudah dengan masalah tonsil pada anak
Ibu mana yang tidak bimbang melihat anaknya sentiasa demam dengan paras suhu yang tinggi. Lebih risau pula jika si anak kerap demam seperti yang berlaku pada anak Puan Nurul Shazalina Zainudin, iaitu Alexander Akil atau Akil.
Menurut Puan Nurul, masalah tonsil anaknya yang dijangkiti menjadi punca sebenar mengapa anaknya seringkali demam dan selepas mendapat pemeriksaan, Akil perlu menjalani pembedahan pembuangan tonsil.
Prosedur pembuangan tonsil itu sepatutnya berjalan dengan lancar, namun nasib Akil kurang baik apabila kanak-kanak itu mengalami komplikasi. Bagaimanapun, doktor berjaya menemui puncanya dan merawat Akil yang kini Alhamdulillah dalam proses pemulihan.
TONSIL BAHAYA ATAU TIDAK?
KELMARIN anak saya, Alexander Akil, menjalani satu prosedur membuang tonsilnya dan nasib tidak begitu baik, dia mendapat komplikasi selepas pembedahan tersebut. Akil dah lama ada tonsil sejak dari kecil. Sewaktu berusia 2-3 tahun dulu, dia telah dirujuk ke Pakar ENT, tetapi doktor pakar kata tunggu dia besar sikit.
Semenjak dua menjak ini, hampir setiap bulan dia demam dan suhu badannya sangat tinggi, selalu melebihi paras 39'C dan kebanyakan masa memang disebabkan tonsilnya dijangkiti, membengkak dan merah yang memerlukan dia mengambil rawatan antibiotik.
Nasib baik Akil selalu mendapatkan rawatan di klinik yang sama. Jadi, doktor bertugas perasan rekod Akil yang sentiasa demam dan menghidap masalah tonsil. Jadi, beliau memberi surat untuk rujuk ke pakar ENT. Saya pun bawa Akil pergi ke Hospital Pakar An Nur, Bangi. Memang perlu dibuang tetapi doktor minta tunggu dua minggu lagi sebab nak pastikan Akil betul-betul clear dari demam dan sakit.
Sampai tarikhnya, seawal jam 7 pagi admit ke wad. Akil menunggu masa untuk masuk dibedah. Jam 10:45 pagi mula, tamat dalam jam 11:30 pagi. Alhamdulillah semuanya selamat. Oh ya, doktor juga buang adenoid di belakang hidung Akil. Masa pembedahan itu, doktor mendapati ada adenoid. Doktor pun buang sekali.
Selepas dibedah, Akil tidur saja tetapi dalam tempoh yang agak lama. Dari selepas dibedah, sampai jam empat petang. itu pun puas kejutkan. Kejap-kejap saja dia bangun merengek, pegang tekak, kata batuk-batuk. Maknanya dia tak selesa di bahagian tekak.
Saya ingatkan perkara biasa selepas operate. Rupanya, tidak, dia asyik menelan darah rupanya. Bila dia bangun, kejap itu dia muntah darah, penuh sekatil dan memang banyak. Bukan darah sikit-sikit, seperti dicurahkan darahnya. Saya masih ingat ini adalah kesan bius dan darah itu yang dia telan semasa operate tadi.
Bagi Akil kumur dengan air ais, minum air sejuk. Selepas itu beri Akil makan jelly sikit. Dia tak nak aiskrim lagi. Kejap itu dia muntah lagi. Lagi banyak dan semuanya darah. Kebetulan jururawat ada pada masa itu. Okey, tak apa. Mungkin kesan bius lagi.
Kali ketiga, Akil muntah darah lagi. Bukan sedikit, tetapi dalam amaun yang banyak. Saya tahu ada yang tak kena sebab Akil dah mula lemah, buka mata pun tak larat dan bibirnya pucat lesi. Tidak lama kemudian, kebetulan doktor datang dan jururawat pun memaklumkan perkara itu.
Doktor periksa dan memang sangat pucat keadaan Akil pada waktu itu. Doktor terus kata, "Okey, siap. Kita masuk bilik bedah semula. Sekarang juga," katanya. Saya berdebar dah. Inikan prosedur buang tonsil saja, kenapa jadi macam ni?
Sementara mereka menyiapkan bilik bedah, doktor menerangkan bahawa jarang berlaku komplikasi seperti pembedahan. Sejak dia di sini, Akil merupakan kes kedua yang mengalami komplikasi seperti ini. Doktor perlu siasat punca pendarahan dan menghentikannya sebelum keadaan menjadi lebih teruk.
Kebetulan di luar bilik bedah, Akil muntah darah sekali lagi di depan doktor sendiri. Jadi, doktor dapat tengok darahnya macam mana. Next time kena ambil gambar darah muntah Akil itu supaya senang nak jelaskan kepada doktor sebab doktor nak tahu warna darah itu fresh atau kehitaman. Sebab Akil asyik muntah darah, doktor pakar bius tak boleh bagi bius melalui gas, kena melalui IV kali ini. Katanya sakit sikit. Tapi Akil memang tak larat sungguh. Kena panggil berkali-kali untuk dia buka mata. Saya dah risau sangat.
Alhamdulillah tidak lama selepas itu, doktor dah jumpa punca pendarahan di mana dan berjaya dihentikan. Sampai sekarang Akil dah okey.
Bangun keesokannya, terus minta makan minum sebab sangat lapar. Saya risau nak bagi makan terus, tetapi Akil kata tak sakit. Alhamdulillah. Kumur dengan air ais, dengan ubat kumur (difflam), antara cara terbaik untuk mempercepatkan luka pembedahannya sembuh.
Sekarang dia makin sembuh, tetapi agak lemah sebab banyak kehilangan darah dan masih berada di wad untuk dipantau. InshaAllah hari ini discaj.
Jangan takut pula untuk jalani pembedahan buang tonsil. Selalunya tiada masalah. Nasib Akil saja yang kurang baik, komplikasi bleeding. Tetapi sangat cepat sembuh lukanya itu. Jadi sepatutnya memang okey.
Baiklah, nak cerita sikit tentang tonsil. Tonsil ini sebenarnya bagus untuk badan kita dan ia bertindak sebagai barisan pertahanan pertama untuk melindungi badan kita dari jangkitan. Tetapi kadang-kadang tonsil itu sendiri boleh dijangkiti dan menyebabkan kita sakit.
Antara tanda-tandanya ialah:
- Demam panas melebihi 39'C selalunya
- Tonsil membengkak, merah dan kadang-kadang ada putih-putih atau nanah
- Sakit telinga
- Sakit tekak
- Sukar mahu menelan
- Sukar tidur disebabkan tonsil menghalang laluan pernafasan
- Nafas berbau
Kalau selalu sangat dapat tonsilitis, tonsil tersebut berkemungkinan tidak akan mengecil dan akan statik besarnya walaupun dalam keadaan normal. Bila sakit, bertambah besar dan merah. Dan rupanya penyakit ini boleh berjangkit dan ramai yang tidak tahu termasuklah saya. Selama ini saya fikir, mungkin ada kena mengena dengan keturunan sebab kalau kita ada tonsil, biasanya anak, adik beradik, mak dan ayah juga ada tonsil. Rupanya sebab kita dekat, tidak mengelak diri dari terjangkit dan menjangkiti, sebab itu kena.
Sepatutnya, sesiapa yang sedang mengalami masalah tonsil yang sedang sakit perlu mengambil MC. Kalau tidak pun, kena tutup mulut apabila bersin atau batuk. Jangan sesekali berkongsi makanan atau minuman. Cuci tangan dan jangan cium anak. Semua ini punca jangkitan.
Sekarang dah tahu, siapa yang tengah sakit tonsil itu elakkan dari berjumpa orang lain sampai tonsil itu sembuh. Sekarang saya rasa sayalah punca Akil mendapat tonsil dari kecil sebab sampai sekarang saya masih ada masalah ini dan saya pun patut buang tonsil nanti.
Ini serius, orang pandang remeh saja penyakit tonsil ini. Tetapi sebenarnya ia senang berjangkit kalau tak jaga diri dan sakit kalau terkena. Lagi-lagi kalau kes berulang, hampir setiap bulan kena. Seksa sangat.
Okey, kalau siapa yang selalu mengalami masalah tonsil itu, anak ada tonsil, boleh pantau. Kalau kerap sangat, maklumkan kepada doktor. Jika perlu, berjumpalah dengan pakar dan jangan sampai ia melarat.
Saya sertakan gambar tonsil Akil yang dibuang. Besar ya, lebih besar dari guli. Kesian dia. Terima kasih kepada Doktor Halim (Pakar ENT Hospital An Nur), Doktor Pakar Bius (lupa nak tanya nama), kakitangan jururawat dan semua yang mendoakan Akil.
Sumber: Nurul Shazalina Zainudin
Post a Comment