(Video) 'Dia himpit dan tiba-tiba tendang motosikal mangsa'
Lapor Sinar Harian, kejadian yang berlaku pada jam 3 petang semalam di Persiaran Gurney, mangsa yang sedang menunggang motosikal seperti biasa di lorong kedua tiba-tiba dihampiri lelaki terbabit yang kemudian terus menghimpit dan menendang motosikalnya.
Dalam rakaman video berdurasi 1 minit 22 saat itu, mangsa berusia 60 tahun terjatuh dan topi keledarnya tercabut, manakala lelaki terbabit terus memecut melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, mangsa difahamkan baru pulang dari masjid dan ketika tiba di Persiaran Gurney, dia ditendang oleh suspek.
Mangsa yang cedera dan sakit di bahagian dada dimasukkan ke wad, namun dilaporkan stabil sebelum anak mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
"Mangsa dilaporkan stabil. Anaknya telah membuat laporan polis pada jam 5 petang tadi berhubung kejadian yang menimpa bapanya.
"Menurut anak mangsa, bapanya tidak mempunyai masalah atau berselisih faham dengan mana-mana pihak sebelum kejadian.
"Motif sebenar masih disiasat dan malam ini, kita akan ambil keterangan daripada seorang saksi serta mendapatkan rakaman video asal yang dirakam daripada kamera kereta saksi. Dari situ, kita akan dapatkan nombor kenderaan suspek," katanya.
Post a Comment