'Saya terdengar dia cuba buka pintu' - Orang tengah sibuk, dia buat kerja (mencuri)


Cubaan seorang wanita berusia 40-an untuk menyamun barang-barang berharga dari rumah pengantin perempuan gagal apabila perbuatannya disedari salah seorang ahli keluarga yang sudah memerhatikan gerak gerinya dari awal lagi. 

Datangnya seperti bersama rombongan pengantin lelaki, kemudian berpura-pura bertanyakan bilik solat dan mencari beg telekung di serata bilik hanyalah sekadar mahu mengaburi ahli keluarga berkenaan. 

"KISAHNYA hati saya tergerak melihat seorang makcik ini. Dia membawa payung merah (payung DIY inverted). Ketika itu dia berjalan bersahaja, selepas itu dia masuk ke dalam rumah. Di dalam rumah hanya ada ibu saudara di ruang tamu dan isteri bersama anak-anak di bilik. Saya terus mengekori makcik yang tidak dikenali itu masuk ke dalam rumah. 

"Dia bertanya kepada makcik saudara, di mana bilik solat sambil berkata nak ambil beg telekung. Selepas itu dia terus pergi ke bilik tetamu. Saya terus berjalan ke bilik saya dan membiarkan pintu terbuka. 

"Tiba-tiba makcik itu menjengah ke dalam bilik saya sambil berkata, "Mana beg telekung, bukan sini". Selepas itu dia terus pergi ke ruang tamu, dia terus berbual dengan ibu saudara. Kemudian adik nombor tiga saya masuk dan makcik itu berbual pula dengan adik saya. Melihat keadaan itu, saya menganggap makcik itu adalah saudara dekat. Saya terus duduk di ruang tamu. 

"Tidak lama kemudian adik keluar rumah, ibu saudara saya pergi ke tandas. Makcik itu bangun dan terus menuju ke bilik orang tua saya. Saya terdengar dia cuba membuka pintu tetapi terhalang kerana pintu dikunci. 

"Makcik itu asyik berbisik sendirian, "Mana beg telekung ni?". Kemudian dia kembali ke ruang tamu. Saya hanya memerhatikannya, ibarat tunggul kayu kerana perbuatan saya ini langsung tidak diendahkan oleh makcik itu. 


"Selepas itu, dia pergi ke arah bilik kakak saya dan cuba membuka pintu, tetapi gagal kerana pintu juga dikunci. Tiba-tiba adik saya yang tadi masuk ke ruang tamu dan makcik itu bertanya di mana bilik pengantin. Adik tunjuk bilik pengantin dan terus keluar rumah. Makcik itu terus masuk ke dalam bilik pengantin. 

"Saya terus memanggil adik saya dan minta dia pergi masuk ke bilik pengantin untuk memeriksa. Adik saya ternampak makcik itu membuka almari sambil menyebut "Mana beg telekung ni". Setelah ditegur, makcik itu segera beredar keluar dari rumah. 

"Kami terus memeriksa jika ada barang yang hilang. Alhamdulillah, semua barang selamat. Ibu saudara saya memberitahu yang makcik itu adalah dari rombongan pengantin lelaki dan berasal dari Selayang. 

"Adik saya pula beritahu, makcik itu bertnaya mengapa dia tidak pernah nampak adik saya ketika majlis tunang (memang betul adik saya tidak hadir), yang ini agak menyakinkan adik saya. Pihak pengantin lelaki juga mengesahkan bahawa makcik itu bukan dari kalangan mereka. 

"Kesimpulannya, makcik itu telah menceroboh masuk rumah kami dan cuba membuka semua pintu bilik. Nasihat saya, sila kunci semua pintu bilik dan pastikan sekurang-kurangnya ada seseorang yang menunggu di dalam rumah. 

"Laporan polis telah dibuat dan jika anda ada maklumat lain mengenai makcik ini, sila maklumkan kepada saya," kata Ommar Abd Aziz.  

Difahamkan, wanita ini juga pernah melakukan perbuatan yang sama pada tahun 2014 dan mangsa mengalami kerugian termasuk wang tunai turut disamunnya dalam diam. 


"Tengok dalam-dalam, cam muka perempuan ini. Nanti ada kenduri kahwin, mohon korang berjaga-jagalah. Lagi-lagi kawasan Klang ini. 

"Dia buat macam sebahagian daripada majlis, konon ahli keluarga, kawan-kawan, saudara mara. Dalam keadaan majlis kelam kabut kita pun boleh tertipu dan tak sedar. 

"Last-last hantaran dan duit dia kebas. Siap kopak laci lagi, profesional ni. Nampak gaya macam tak percaya saja, tetapi kehebatan dia tiada tandingan. Orang tengah sibuk, dia buat kerja. 

"First dia naik bilik atas dan bergambar dengan pengantin, seolah-olah dia kenal pengantin. Memang gaya macam kawan pengantin perempuan sebab kebetulan ada kawan pengantin perempuan nak bergambar juga. Pengantin perempuan ingat mungkin dia saudara mara jauh. 

"Kemudian semasa rombongan pengantin lelaki sampai, dia tarik payung yang dipegang oleh pengapit. Dia cakap dia nak pegang dan pengapit ambil semula payung itu daripada dia dan hantar pengantin perempuan pergi dekat sebelah pengantin lelaki. 

"Selepas itu dia beria-ria nak payung lagi. Pengapit pun bagilah sebab fikir dia salah seorang kawan pengantin perempuan.

"Bila pengantin sibuk bergambar, makan beradab, dia arahkan saudara mara bawa hantaran naik ke bilik atas dan dia mengaku di kawan pengantin perempuan pada makcik-makcik itu. Sedangkan tiada seorang pun yang kenal siapa perempuan ini. 

"Selepas letak hantaran, dia naik tak turun-turun. Tetapi orang yang perasan dia tak turun tak syak apa-apa sampailah pengantin perempuan sedar yang barang dia dah hilang. 

"Hati-hati ye korang, ramai yang dha kena. Laporan polis dah dibuat. Post sini nak korang berjaga-jaga sahaja. Mana tahu kalau terserempak ke, kenal ke, lagi-lagi yang majlis dah nak dekat tu. Hati-hati," kata Cik Lin.

No comments