7 Fakta Parameswara Raja Melaka Pertama Yang Buat Ramai Melayu BANGGA. #6 Paling WOW

7 Fakta Parameswara Raja Melaka Pertama Yang Buat Ramai Melayu BANGGA. #6 Paling WOW | Saya Luv Islam – Semua tahu Parameswara aka Sultan Iskandar Shah adalah raja Melayu pertama. Tapi tak ramai tahu ada “sesuatu” dalam sejarah sebenar raja yang agong ini buat ramai Melayu jadi bangga. No #6 paling WOW. Kongsikan.

1. SEJARAH AWAL MELAKA

Kesultanan Melayu Melaka adalah puncak ketamadunan dan peradaban Melayu selepas kedatangan Islam. Sesungguhnya bangsa Melayu mempunyai dua puncak kegemilangannya, satu ialah zaman kegemilangan yang bermula ketika era Srivijaya, lalu ketika kejatuhan Srivijaya, ianya diteruskan oleh Singapura Purba sebelum dibantai oleh Majapahit.

Lalu, dari puing-puing kejatuhan Singapura Purba dan juga Srivijaya, bangsa Melayu bangkit membina kembali Melaka. Kegemilangan yang dicapai oleh Srivijaya kelihatan seperti tidak dapat dijelmakan kembali oleh Singapura Purba. Namun, kewujudan Melaka seolah-olah mengembalikan bayangan Srivijaya.

Sahabat-sahabatku sekalian… kalau anda sudi bersama saya dalam perjalanan mengembalikan nostalgia kita kepada Melaka, maka sambutlah tangan saya, saya akan bawa kalian menyelami era yang menjadi asas kepada imej Melayu kita hari ini. Dari bahasanya… dari agamanya… dari budayanya… semuanya dimulakan oleh Melaka.

2. KERAJAAN MELAKA MERUPAKAN ASAS IMEJ MELAYU HARI INI

Meski secara peribadi, saya berpendapat bahawa Srivijaya ialah kemuncak peradaban segala tamadun Melayu, tetapi Srivijaya agak jauh daripada jiwa Melayu moden hari ini.

Bahasa Melayu Kuno zaman Srivijaya sudah berevolusi menjadi Bahasa Melayu Klasik ketika berada di bawah Melaka. Agama Buddha yang menjadi pegangan Melayu Srivijaya sudah lama ditinggalkan oleh orang Melayu ketika kedatangan Islam, budayanya pula sudah tentu berbeza antara zaman Srivijaya dan Melaka.

Maka… kenyatannya, Melaka itu lebih dekat dengan jiwa orang Melayu hari ini. Dan izinkan saya berpesta aksara, menukilkan kisah-kisah agung tentang tokoh agung bangsa Melayu ketika era Kesultanan Melayu Melaka.

Tetapi sebelum itu, saya lebih suka guna tarikh Kesultanan Melayu Melaka yang lama, kerana saya tidak mempunyai akses ke Sulalatus Salatin Raja Bongsu, dalam meletakkan nama sultan-sultan Melaka serta tarikh pemerintahannya.

3. RAJA ISKANDAR SHAH AKA PRAMESWARA (1400-1414)

Figura yang bernama Parameswara ini adalah figura yang paling misteri di dalam sejarah dunia. Ada dua versi yang menceritakan tentang asal usulnya.

Pertama, ianya datang daripada Suma Oriental yang mengatakan bahawa asal-usul Parameswara adalah daripada Palembang lalu ke Singapura dan membunuh Temagi. Tetapi izinkan saya mengatakan bahawa saya bukan pengganut teori ini kerana saya lebih berpihak pada Sulalatus Salatin dalam menceritakan tentang sejarah Parameswara.

4. PERMAISURA BUKAN PRAMESWARA

Tetapi sebelum itu… perlu saya kepilkan pendapat seorang sejarawan daripada Brunei bernama Dato’ Seri Utama Dr Awang Mohd Jamil Al-Sufri bahawa sesungguhnya sebutan sebenar untuk Parameswara adalah Permaisura.

Menurut Dr Awang Jamil lagi, nama Permaisura itu ialah gabungan dua perkataan dalam bahasa Melayu yang bermaksud Permai dan Suara yang bermaksud suara yang indah, merujuk pada titah seorang raja yang didengari dan ditaati perintahnya.

Gelaran Permaisura juga menurut Dr Awang Jamil telah lama digunakan oleh raja-raja Melayu yang memerintah kerajaan Singapura Purba dan turut dikurniakan pada wazir kanan Kesultanan Brunei iatu Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara.

Ini tidaklah sesuatu yang menghairankan kerana pengasas Kesultanan Melayu Brunei itu sendiri berkahwin dengan anak salah seorang raja Melayu Singapura Purba.

Dan tambah Dr Awang Jamil lagi, gelaran ini juga mungkin disandang oleh pengasas Kesultanan Melayu Melaka sendiri kerana berkahwin dengan anak perempuan Raja Jawa yang memakai gelaran permaisuri. Wallahualam

Maka selepas ini, izinkan saya hanya menggunakan nama Iskandar Shah dalam merujuk pada Parameswara. Jadi izinkan saya bercerita pula sisi sejarah Melayu versi Sulalatus Salatin.

5. SINGAPURA PURBA

Dalam Sulalatus Salatin, yang diceritakan tentang sejarah Iskandar Shah adalah merupakan raja terakhir yang memerintah Singapura Purba sebelum dilanggar bala askar Majapahit sebelum melarikan diri ke Muar lalu membawa diri ke sebuah tempat bernama Melaka.

Di tempat inilah kisah bagaimana Raja Iskandar Shah melihat seekor kancil menendang anjing pemburuannya, lalu mendapat ilham untuk menubuhkan kerajannya. Lalu ditanya kepada para pembesar yang setia mengikutinya selepas kejatuhan kota Singapura Purba.

Lalu dijawab mereka pokok tempat baginda berteduh ialah Pokok Melaka lalu nama Melaka pun diambil sempena dengan nama pokok itu.

Lalu dari sebuah perkampungan nelayan, Raja Iskandar Shah menukarkan kota tersebut menjadi sebuah kota perdagangan yang agung. Kalau di Singapura Purba, perbuatan Parameswara yang menghukum tanpa selidik salah seorang dayangnya mengakibatkan pengkhianatan yang menghumban kepada terbukanya kota Singapura Purba kepada bala askar dari Pulau Jawa.

6. SISTEM HEBAT ASAS KEKUKUHAN MELAKA

Maka mungkin baginda belajar dari sejarah. Apabila menubuhkan kota Melaka, baginda tahu bahawa sebuah sistem yang hebat perlu ditubuhkan untuk memastikan bahawa negara baru yang ditubuhkan ini akan mampu berdepan dengan gempuran dari segala pihak.

Raja Iskandar Shah memastikan bahawa pemerintahannya akan dibantu oleh empat orang pembesar. Empat orang pembesar ini yang akan membantu baginda mentadbir Melaka. Sistem pentadbiran yang adil terus dilaksanakan oleh baginda.

Baginda mengamalkan sebuah sistem pembicaraan di sebuah kompleks yang dipanggil Balai Penghadapan. Baginda akan melakukan kerja penghakiman sambil dibantu oleh 40 orang bentara. Setiap orang yang dibawa ke balai penghadapan akan dinilai seadil-adilnya. Tiada lagi bicara tanpa periksa yang dilakukan oleh baginda dahulu.

Kemudian, baginda mahu berusaha memastikan bahawa Melaka yang dibangunkan itu memberi kepuasan yang maksimum kepada masyarakat.

Lalu antara langkah-langkah baginda memastikan pelabuhan itu disukai oleh pedagang ialah dengan membina gudang-gudang untuk menyimpan wang dan barang dagangan, yang dikelilingi oleh pagar kayu yang kuat, yang dijaga oleh orang-orang kepercayaan baginda.

Selain itu, baginda turut membina sebuah jambatan yang digunakan untuk merentangi Sungai Melaka. Di atas jambatan itu, baginda memastikan sekurang-kurangnya terdapat 20 buah kedai yang akan menjadi tempat kunjungan para pedagang.

Bahkan untuk memastikan bahawa keselamatan pedagang yang mengunjungi kota Melaka, maka baginda membina tembok mengelilingi Kota Melaka, di mana terdapat empat pintu gerbang mengelilingi kota Melaka. (Raja Affandi Ahmad 1974: pg 49) Di mana di setiap pintu gerbang tadi, diletakkan pegawal.

Pada waktu malam pula, para pegawal akan membawa loceng dan juga api damar, meronda di sekeliling Melaka memastikan keselamatan rakyat dan pedagang terbela.

Selain itu, seperti mana tradisi daripada nenek moyang baginda yang memerintah Srvijaya sehingga empayar itu menjadi empayar Melayu paling lama dalam sejarah iaitu sekurang-kurangnya untuk 640 tahun, baginda meneruskan khidmat orang laut untuk membantu baginda mengawal keadaan lalu lintas di Sewlat Melaka dan menghalau gangguan lanun.

7. SENI POLITIK RAJA MELAKA PERTAMA

Baginda juga merupakan seorang ahli politik yang hebat. Baginda mengetahui bahawa pada awalnya, Melaka tidak mungkin akan mampu menahan asakan daripada kerajaan Siam.

Jadi, baginda pada awalnya dengan rela hati membayar ufti sebanyak 40 tahlil emas kepada Siam. Namun, bila datangnya utusan China ke Melaka, maka baginda mengambil kesempatan itu untuk memutuskan hubungan dengan Siam lalu bersahabat dengan China.

Menggunakan kekuasaan abang besar China, maka baginda mengugut Siam yang ketika itu mula bermusuhan dengan Melaka.

Ketika pemerintahan Raja Iskandar Shah inilah di mana Laksamana Cheng Ho berlabuh di Pelabuhan Melaka, pada tahun 1408, di mana Cheng Ho ketika itu membawa dua cap mohor perak dari China, jubah panjang, dan pelbagai barang kebesaran China, mengiktiraf kerajaan Melayu Melaka yang kononnya baru berdiri ketika itu.

Baginda juga dicatatkan telah membuat pelayaran melawat negara China dengan rombongan pengiring sebanyak 540 orang untuk pertemuan dengan Maharaja Dinasti Ming, Yung Lo. Maharaja Yung Lo juga mengiktiraf baginda sebagai raja Melaka.

Betapa sistem-sistem awal yang diterapkan oleh baginda ini kemudiannya menjadi asas yang kukuh, menjadikan Melaka bukan sahaja sebagai sebuah pelabuhan yang disegani, bahkan sebuah empayar yang menakjubkan.

Ada sejarahwan yang menganggap bahawa baginda telah memeluk Islam sejak pengasasan Melaka lagi. Namun menurut Sulalatus Salatin, raja Melaka pertama memeluk Islam ialah Raja Kechil Besar yang kemudiannya memakai gelaran Sultan Muhammad Shah.

Sumber: Saya Luv Islam via The Patriot

Rujukan:

1. Sulalatus Salatin versi A. Samad Ahmada dan Shellebear
2. Hikayat Hang Tuah oleh Kassim Ahmad
3. Tokoh-Tokoh Melayu Yang Agung Dalam sejarah oleh Raja Affandi Ahmad. Dewan Bahasa Dan Pustaka. (1974)
4. Srikandi, Al-Semantani, Ibnu-Rusydi. (2015) Membongkar Rahsia Dunia Melayu. Pribumi Asia Tenggara Menjawab Kekeliruan Sejarah. HR Publishing.
5. The Malacca Sultanate oleh R. J. Wilkinson. (October, 1935) Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society Vol. 13, No. 2 (122), pp. 22-67
6. Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, From Angkor Wat to East Timor (3 Volume Set) Hardcover – October 13, 2004 oleh Keat Gin Ooi
7. Ashgar Ali Ali Mohamed (2012), “Implementation of Hudud (or limits ordained by Allah for serious crimes) in Malaysia” (PDF), International Journal of Humanities and Social Science (Centre for Promoting Ideas)
8. Anthony Reid, David Marr (1979), Perceptions of the Past in Southeast Asia by Anthony Reid, David Marr.
9. Nhung Tuyet Tran; Anthony Reid (3 November 2006). Viet Nam: Borderless Histories. Univ of Wisconsin Press. pp. 104
10. Laichen Sun. (2000) Ming-Southeast Asian overland interactions, 1368-1644. University of Michigan
11. Liaw Yock Fang (2013) A History of Classical Malay Literature. Jakarta: Yayasan Pustaka Obor Indonesia.
12. Tome Pires. The Suma oriental of Tomé Pires: an account of the East, from the Red Sea to China, written in Malacca and India in 1512-1515 (Volume II: Malacca), Asia Educational Services, 1990.
13. Blog Sejarah Melayu (Link:http://ift.tt/2F5cArM)
14. http://ift.tt/2Esu00y
15. Blog Mahameru Bukit SiGutang (Link: http://ift.tt/2F51enJ)

The post 7 Fakta Parameswara Raja Melaka Pertama Yang Buat Ramai Melayu BANGGA. #6 Paling WOW appeared first on SAYALUVISLAM.

No comments