'Agak-agaklah, ingat kami beli barang semua pakai daun? Pentingkan diri betul'
Pengusaha pelamin perkahwinan, Azidia Bridal Couture, terkilan apabila pihak pembekal kanopi bagi majlis perkahwinan pelanggannya bertindak membuka semua kanopi tanpa dimaklumkan lebih awal sehingga pelamin mereka terbiar di kawasan terbuka dan berisiko rosak jika dibasahi hujan.
Status yang dimuat naik Azidia di Facebooknya pada jam 12 tengah hari tadi mengundang pelbagai reaksi netizen dan mempertikaikan tindakan pembekal kanopi berkenaan yang dianggap tidak bertimbang rasa.
"Agak-agaklah pembekal kanopi. Saya tahulah mereka sibuk, ingat mereka saja yang sibuk? Minggu ini, semua orang sibuk kot? Tetapi, boleh tak beritahu awal-awal bila nak buka kanopi? Macamlah kami ini beli barang (pelamin) semua pakai daun saja? Pentingkan diri betul," katanya.
Menurut Azidia, pelamin pelanggannya itu dibuat di kawasan kampung dan mereka tidak merancang untuk terus membuka pelamin berkenaan selepas majlis.
"Pelamin dalam kanopi, di kawasan kampung. Jadi kita tak set untuk buka selepas majlis. (Sekurang-kurangnya) beritahulah nak buka kanopi awal dan hubungi saya untuk minta buka pelamin lebih awal.
"Bukan (tunggu sampai) seminggu pun, tak sampai sehari tunggu. Adab tak ada, kita sama-sama berniaga kot? Cuba kalau orang lain yang buat barang mereka seperti itu?" katanya.
Walau bagaimanapun, pihak Azidia bersyukur dan berterima kasih kepada pengantin dan keluarga yang menghubungi mereka untuk datang membuka pelamin itu lebih awal sebelum kanopi dibuka. Malah, mereka juga sudi membantu pihak Azidia mengemas dan membuka pelamin berkenaan sebelah cuaca hujan
"Alhamdulillah pengantin dan keluarga sangat membantu kami mengemas dan siap bantu buka pelamin sekali. Malah sebelum itu mereka yang menghubungi dan suruh kami datang cepat sebelum kanopi buka.
"Kami hargai sangat. Semoga pengantin dan keluarga dimurahkan rezeki dan dilindungi Allah. Amin," katanya.
Pihak Azidia meminta netizen yang tersalah tafsir statusnya itu tidak menyalahkan pengantin dan keluarga di atas apa yang berlaku kerana perkara itu berpunca dari pihak pembekal kanopi yang tidak memaklumkan lebih awal.
"Saya marahkan pihak pembekal kanopi, kes-kes seperti ini seringkali berlaku pada kami. (Ada yang salah faham) dan salahkan keluarga pengantin tetapi sebenarnya keluarga pengantin tiada masalah dan mereka sangat baik. Yang bermasalah sebenarnya adalah pembekal kanopi berkenaan.
"Pengantin sudah memaklumkan kepada kami yang kanopi nak dibuka. Pembekal kanopi yang tidak maklumkan lebih awal. Tuan rumah sudah meminta mereka menunggu seketika sehingga kami datang tetapi mereka tidak menunggu kehadiran kami, sampai hati.
"Pengantin menghubungi saya dan meminta maaf, sedangkan itu bukan salah mereka. Harap semua tidak menyalahkan keluarga pengantin. Mereka sudah membantu kami mengemas bersama-sama kerana bimbang jika cuaca hujan
"Terima kasih kepada pengantin sebab membantu mempermudahkan urusan kami. Semoga berbahagia sehingga jannah dan kami doakan awak sekeluarga dimurahkan rezeki dan dilindungi Allah. Amin," katanya.
Post a Comment