NIL – SANG PAHLAWAN

Sinar mentari pagi menyinar lembut, menerangi ceruk istana lama di pinggir gaung itu.
Sang Pahlawan itu  melangkah penuh kemas, derapan kakinya kedengaran bergema keseluruh istana. Istana lama itu tersergam indah, masih utuh berdiri. Nuansa rekaan gotik zaman pertengahan – Medieval Gothic Architecture menghiasi keseluruhan istana agam itu.

Dikelilingi istana itu adalah parit yang luas, dengan air hijau kebiruan cemerlang, gerak air yang perlahan memantulkan cahaya suria dengan indah. Di belakang istana ada pula gaung yang luas, dalam, dan langit yang biru dan hamparan rumput yang hijau – seakan bersatu.
Ya, pemandangan yang sangat indah. sangat menenangkan, kalau bukan kerana keranda-keranda yang memenuhi istana itu, pasti ia kelihatan lebih mewah.

Keranda pelbagai saiz, kecil. sekecil kanak-kanak berumur 5 tahun, sehinggalah ke keranda sebesar seorang dewasa. setiap ceruk lantai bawah istana – dipenuhi oleh keranda.

Sang Pahlawan bernafas melalui mulut di sebalik topeng besinya. Bau ini. Bau darah kering, bau lemak yang kian mereput, daging membusuk, isi perut terburai. Sang Pahlawan menarik nafas dalam. Ah, inilah bau Kematian. Bau yang sekian lama menemaninya.

“Nosferatu,” bisik Sang Pahlawan, “aku datang untuk kepalamu.” Sambungnya.

Seakan memahami, keranda-keranda itu bergerak-gerak. Bergoncang penutupnya, diikuti bunyi dengusan, bunyi erangan. Sang Pahlawan tersenyum sinis. Ini,adalah ‘Sarang’ terakhir Nosferatu, si makhluk penghisap darah. Penduduk di sekitar kawasan ini telah dipindahkan serta-merta,jadi mereka kehabisan bekalan makanan. Sekiranya kiraan Sang Pahlawan tepat, mungkin ‘hidangan’ terakhir mereka – adalah seminggu yang lepas.

“Kau lapar, kan?” ujar Sang Pahlawan, mengeluarkan pisau belati dari kasut but kanan beliau. Bunyi erangan, dengusan semakin rancak.

“Marilah,” sambung Sang Pahlawan, pisau belati ditekan di telapak tangan kirinya.

“Dapatkan darahku.” Ucap beliau lagi, sewaktu cecair merah – mula terbit dari telapak tangannya.

Cecair hangat itu mengalir, menitik, mengotori lantai istana.

Waktu itulah, ngauman maha hebat didengari di seluruh istana agam itu, dan penutup-penutup keranda seakan terbang dari tempatnya, diikuti penghuninya yang meluru ganas ke arah Sang Pahlawan.

Sang Pahlawan menyeringai gembira di sebalik topeng besi, sewaktu segerombolan manusia pucat, bertaring menerpa kearahnya. matanya; gilakan pembunuhan. Bau busuk bangkai menyelubungi ruang istana, dan Sang Pahlawan tertawa umpama histeria.

“Inilah!” dia menjerit gembira. “Inilah bau kematian!” dia ketawa dengan tangan didepangkan.

Ya. Dia memang gila. Ramai yang berkata – melawan Nosferatu yang lapar adalah kerja gila.

Tapi dia lebih tahu.

15 tahun yang lalu, Nosferatulah yang merenggut nyawa kedua ibubapanya.

Sewaktu Nosferatu datang menyerang rumah mereka, ayah Sang Pahlawan mengangkat cangkul mereka dan berlari ke luar rumah.

Masa berlalu; jerit pekik di luar masih kedengaran, namun Ayah masih belum muncul.

Sebelum Ayah keluar, dia sempat mengutarakan ayat ini kepada Ibu; “lindungi anak kita.”

Ibunya, nekad, mendukung Sang Pahlawan ke belakang rumah, di tempat mereka membela kambing. Lantas – Ibu menarik seekor kambing, lalu ditetak kepalanya. Ibu menadah darah kambing yang masih menggeletik kesakitan ke dalam baldi, dan dicurahkan ke atas badan kecil Sang Pahlawan.

“Ibu. Busuk.” Ucap si kecil, tidak memahami. Ibu menggigit bibir, mengangkat Sang Pahlawan ke dalam sebuah kotak. “Bau darah haiwan akan mengelirukan mereka, sayang. ” kata si Ibu. Si anak memiringkan kepala, masih terlalu muda untuk faham. “Nak ukung, nak ukung bu.” Anak itu cuba bermanja. Si Ibu mula sebak, tangannya dihulur untuk mengelus lembut rambut anaknya; namun tangan itu terhenti apabila pintu mereka digoncang kuat.

“Kita main sorok-sorok,nak?” Ucap ibu.

“Nak!”

“Duduk dalam ni tau, nanti Ayah cari ya? Lepas tu kamu berdua cari Ibu sama-sama.”suara Ibu serak. Mata Ibu mula bergenang.

“Em!” Angguk si anak.

“Janji dengan ibu, jangan keluar selagi Ayah tak jumpa kamu, ya?” Air mata Ibu menitis. Cepat-cepat disekanya.

“Janji!” Anak itu berkata seronok.

Kotak kayu itu ditutup Ibu, dan itulah kali terakhir dia melihat Ibu.

Dia dijumpai seangkatan tentera diraja; sedang tidur nyenyak di dalam kotak, dilumuri darah haiwan. Sekembalinya mereka ke istana, mereka mempersembahkan si kecil itu kepada raja.

“Anak ini; anak yang istimewa.” Titah Si Raja. Susuk tegap, tinggi dengan janggut dan rambut yang merah itu berdiri membelakangkan si kecil yang masih bingung, didukung oleh seorang tentera.

“Beta mahu dia dilatih menjadi senjata beta – untuk melawan nosferatu.” Sambung Si Raja. Tentera itu tunduk. “Patik menurut perintah, tuanku.”

“Latih dia, untuk tidak mengenal erti perasaan, erti sakit. Ajar dia hanya untuk membunuh, hanya untuk mengenal warna merah darah, warna hitam kematian. Ajar dia untuk menjadi anjing beta.” Si Raja menyambung lagi. Tentera itu tersentak. Anak kecil sebaya anak sulungnya itu dipeluk erat.

“Tapi tuanku – ” ucapnya, namun terdiam apabila kerlingan mata Si Raja bertemu matanya.

“Jawab soalan beta, wahai kesatriaku.” Si Raja mendekati Tentera. “Apabila lawanmu memiliki pedang, adakah kau akan menggunakan pisau belati?” Sambung Si Raja, mata biru dingin umpama sedingin angin salju – menembusi diri Tentera. ” Ampunkan patik, tuanku.” Tentera lantas melutut. “Patik pacal yang hina, tidak mampu menandingi kebijaksanaan tuanku.” Sambung Tentera lagi. “Namun begitu, tuanku,” suara Tentera sedikit keras,

“Adakah adil untuk kita – merampas kemanusiaan anak ini?” Sambung Tentera, sedikit tegas. Matanya yang coklat cair, hangat, bertemu mata biru dingin Si Raja.

Si Raja menyembunyikan senyum. Sikap si Tentera inilah – yang membuatkan Si Raja menggemari beliau. Bukan penjilat, bukan pencacai yang mengiyakan tiap kata baginda.

Berani kerana benar.

“Ya, kesatria ku yang berani. Beta akui, perbuatan beta tidak adil.” Si Raja menghampiri tingkap tinggi lagi luas, menampakkan sebahagian tanah jajahan Baginda. “Tapi andai ini berjaya, anak ini bakal menyelamatkan beratus, mungkin beribu nyawa yang lain dari menjadi mangsa Nosferatu.” Titah baginda lagi. “Dia mengenali erti kehidupan dari usia muda.” Sambung baginda. “Beta mahu dia menjadi anjing beta. Itu adalah perintah.” Tegas Si Raja.

Si Tentera mengetap bibir, memandang si kecil, yang merenungnya kembali dengan mata ingin tahu. Si Tentera menghela nafas.

“Menjunjung perintah, tuanku!”

Sang Pahlawan kemudiannya – dibesarkan disisi senjata tajam, jerit pekik arahan seni mempertahankan diri dan darah. Dia tidak diajar siapa dirinya, apa kemahuannya, waima jantina atau nama, mahupun nafsu terhadap perempuan atau lelaki – dirampas keseluruhan dari dirinya. Dirinya, adalah hak mutlak Si Raja. Umpama anjing buruan terlatih. Disuruh duduk, dia duduk. Disuruh berguling, dia berguling.

Disuruh bunuh, dia membunuh!

Sang Pahlawan menarik pedang, bersedia dalam kekuda untuk menyerang. Pedang dipegang erat.

Ada kata; cara membunuh nosferatu adalah dengan tikaman kayu yang tajam – terus ke jantung mereka.

Sang Pahlawan tergelak kecil, sinis. Salah!

Pancung sahaja kepala mereka, lebih senang.

Nosferatu ini, dulunya manusia. Namun gigitan nosferatu adalah berbahaya. Jika manusia itu terselamat sekalipun – dia akan berubah menjadi nosferatu juga.

Seperti manusia, nosferatu adalah haiwan berakal. Mereka bijak, sama seperti manusia.

Sama seperti manusia, mereka juga mudah ‘buta’ apabila berhadapan dengan godaan.

Nosferatu pertama yang menghampirinya – kebiasaannya yang baru sahaja ‘makan’. Kulitnya sepucat kertas, urat merah dan biru berselirat bagai akar di kulitnya; taring dan gigi coklat kemerahan akibat darah, mata hitam tanpa mata putih – tersembul, memandangnya penuh rakus. Penuh rasa lapar.

Dengan satu hayunan pedang, kepala nosferatu pertama terpisah dari badan. Bunyi kepala tergolek tenggelam dalam hiruk pikuk, jerit kelaparan nosferatu yang lain. Badan tanpa kepala itu menggeletik umpama ikan terpisah dari air, darah kehitaman merah pekat mengalir, terpancut membasahi lantai istana.

“Kau lapar kan, setan semua?” Laung Sang Pahlawan.

“MAKAN!MAKANLAH!” dia menggenggam tangan kiri yang luka, memaksa darah segar keluar membuak, menitis menjatuhi jasad nosferatu tanpa kepala yang masih menggelumpur.

Bau darah segar membuatkan nosferatu yang lain keliru, lantas dengan kelaparan maha hebat – mereka membenamkan taring pada Saudara mereka yang tidak berkepala, menghisap darah Saudara sendiri penuh rakus. Sang Pahlawan tersenyum puas.

Darah lama, umpama racun bagi nosferatu.

Seteguk darah lama, nosferatu-nosferatu itu mula menggelumpur, berguling penuh kesakitan di atas lantai istana. Mereka meraung-raung dengan darah hitam pekat berbuih di mulut, mencakar-cakar tengkuk sendiri, mata tersembul kemerahan menanti kematian.

Datang nosferatu lain meluru, dan libasan demi libasan pedang kedengaran memenuhi ruang istana, diikuti bunyi kepala jatuh; satu demi satu, umpama degup jantung yang perlahan. Dup. Dup. Dup. Sang Pahlawan umpama menggila, mengejar sebanyak mana nosferatu yang mampu. Matanya terbeliak, bibirnya mengukir senyuman tidak siuman. Bunuh. Bunuh. Bunuh!

……………………………………………………………………..

Istana lama mulai sepi.

Sang Pahlawan berjalan sambil mengheret pedang melalui lautan kepala, tangan dan kaki tercabut, dan simbahan darah merah umpama karpet di lantai istana. Sang Pahlawan sendiri bermandi darah.

Dia mendongak, memandang siling istana. Ada lukisan kian pudar di lukis di siling, memaparkan si dewa kecil, Seraph, yang menyerupai bayi berambut emas, bersayap, terbang gembira di ufuk mega. Bidadari-bidadari kecil itu umpama memandang ke bawah. Ke arahnya. Dia menghela nafas.

Senyuman tidak siuman itu mulai luntur.

“Siapa lagi yang boleh dibunuh?” Bisiknya perlahan.

“Mati. Bunuh. Mati. Bunuh. Mati. Mati. Kepala. Darah.” Dia mengulang-ulang, sambil mengheret pedangnya di tengah2 timbunan mayat tidak berkepala. Satu jasad yang baru dipenggalnya masih menggeletik lemah, dan Sang Pahlawan seperti kerasukan. Menikam mayat tidak berkepala itu berkali-kali.

“MATI! MATI! MATI! MATI!” Dia menjerit separuh gila.

Dia mula keletihan.

Pahlawan itu jatuh, terduduk. Tercungap-cungap. Ada air jernih mengalir dari matanya. “Apa ini?” Sang Pahlawan termangu, keliru. Ah. Dia harus pulang menghadap Raja sekarang. Pedang disarung kembali.

Satu jeritan nyaring kedengaran, memecah kesunyian istana.

Lantas, Sang Pahlawan berpaling menghadap pintu istana.

Seorang wanita – terapung dengan hujung ibu jari kaki mencecah lantai. Rambutnya lurus, hitam berkilat, mengurai menyapu pinggangnya yang ramping. Matanya; hijau zamrud yang cemerlang, dihiasi alis sehitam rambutnya dan bulu mata yang lentik. Dia menyarung gaun berlengan panjang berwarna hijau muda yang indah.

Sudah tentu wanita ini lebih cantik; sekiranya kulitnya tidak sepucat salju, dan bibirnya merah umpama darah segar. Ada dua taring berkilat di celah bibir wanita itu.

Di belakangnya ada sekumpulan manusia – masih hidup, namun memandang kosong ke hadapan dengan mulut separuh terbuka. Mereka dipukau.

Sang Pahlawan memegang pedangnya erat. Ya, sudah tentu. Tepat jangkaanya.

‘Sarang’ sebesar ini – sudah tentu memiliki Ratu.

Ratu Nosferatu adalah jarang ditemui, disebabkan kuasa Ratu itu tidak semudah nosferatu menggigit manusia – dan sekiranya manusia itu tidak mati, dia akan turut bertukar menjadi nosferatu.

Untuk sang Ratu menukarkan manusia kepada Ratu juga, Ratu itu haruslah rela.

Dan Ratu lama itu, dengan kelahiran Ratu yang baru – akan mati, berubah kepada debu-debu halus.

Sang Ratu di hadapan Pahlawan menggelengkan kepala, tidak percaya apa dilihatnya. Anak-anaknya – telah mati.

Sang Ratu mula mencecah tanah, kaki ayamnya dicemari darah hitam pekat. Lantas dia terduduk. Mula menangis, hiba. Air mata darah membasahi pipinya yang pucat. Dia menarik-narik rambutnya, menjerit, merangkul satu badan tidak berkepala. Mata sang Ratu akhirnya bertemu sang Pahlawan.

Wajah hiba sang Ratu berubah – kepada amarah. Dengan mata tersembul, dia menjerit kearah Sang Pahlawan; jeritannya menggegarkan istana, taring-taring tajam tumbuh berceracak di dalam mulutnya.

Sang Pahlawan bersedia. Sang Ratu adalah satu-satunya nosferatu yang imun terhadap cahaya matahari, bermaksud – ini bukanlah sesenang melawan nosferatu yang lemah dan kebuluran tadi.

Tanpa sebarang amaran, sang Ratu tiba-tiba terbang meluru ke arah Pahlawan. Pantas. Sang Pahlawan mengangkat pedang bersedia – dan terpandang mata zamrud Ratu yang memukau.

Sang Pahlawan umpama kaku di tempatnya, dan sang Ratu dengan pantas – merodok dada Sang Pahlawan dengan kukunya yang tajam. Serpihan tulang rusuk dan sternum berterbangan, bersama cebisan paru-paru dan jantung Sang Pahlawan.

Dengan kekuatan yang hebat, sang Ratu mengangkat badan sang Pahlawan yang mula longlai, lantas dilempar ke dinding istana. Bagai anak patung, Sang Pahlawan jatuh, longlai di lantai.

Wajah sang Ratu puas. Namun dia terduduk perlahan, menangis, sayu. Nosferatu di bawah jagaannya – semua menerima kecelakaan. Langsung tiada yang selamat.
Manusia-manusia yang dipukaunya mula tersedar, terjerit-jerit lari menyelamatkan diri. Dia membiarkan sahaja, hanyut dalam kesedihannya.

“I…bu…” kedengaran satu suara lemah. Sang Ratu pantas memandang sekeliling. Mungkinkah, ada yang terselamat? Mungkinkah? Dia bingkas bangun, mencari punca suara tersebut.

“…bu…” lirih suara itu, umpama menahan sakit sakaratulmaut. Sang Ratu berpaling.

Suara itu datang dari Sang Pahlawan, dengan dada berlubang. Topeng besinya pecah sewaktu impak dilempar sang Ratu, menampakkan wajah beliau.

Rambut hitam pekat, namun dipotong pendek, seiras sang Ratu.

Mata hijau zamrud, alis terbentuk indah, bulu mata yang lentik – seiras sang Ratu.

Perempuan muda itu – sang Pahlawan, memiliki wajah berbirat parut, kesan latihan yang melampau, namun kecantikannya masih tersisa. Air mata menitis dari matanya yang bundar. Buat pertama kali dalam masa lima belas tahun – dia akhirnya tersenyum, dalam sesak nafas menghadapi sakaratul maut.

Sang Ratu umpama mengingati sesuatu, tatkatla dia masih bernafas,

Tatkala dia masih seorang manusia,
Seorang isteri,
Seorang ibu.

“Ibu.” Sang Pahlawan mengangkat tangan kanan, longlai ke arah Sang Ratu. Cuba menggapai Ratu yang berdiri jauh.

Bibir Sang Ratu bergetar. Badannya menggeletar hebat, tangan berkuku panjang hampir sejengkal ditenung. Dibasahi darah anak kandungnya sendiri. Terpisah selama lima belas tahun. Kemanusiaan yang tertanam sekian lama, terbit sedikit demi sedikit.

Pantas, sang Ratu terbang ke arah anak kandungnya, memangku badan yang kian dingin – sedingin badannya, dan dia meraung semahu-mahunya. Alam umpama turut bersedih, diam seribu bahasa. Dielus lembut rambut Sang Pahlawan, diusapnya parut-parut cela di wajah anaknya. Air mata darah, menitis membasahi wajah Sang Pahlawan yang tersenyum lemah. Sang Pahlawan – mencuit dagu ibunya.

“Dah jumpa…ibu. Ibu pu…la…yang…jadi.”Ucapnya, lemah.

Mata sang Pahlawan mula tertutup.

Ibu itu menangis, cuba memanggil nama anaknya, namun dia tidak mampu. Dia menggoncang badan Sang Pahlawan yang mula kaku, namun tiada reaksi.

Sang Ratu – meraung, merangkul badan itu rapat ke dadanya, badannya dihayun ke depan dan belakang. Tolonglah! Sesiapa! Dia memandang kiri dan kanan, berharap manusia yang dipukaunya tadi masih ada. Namun tiada sesiapa, hanyalah dia dan timbunan mayat yang kian membusuk.

Si Ibu mulai nekad.

Sebelum degupan jantung terakhir anaknya berhenti, dengan linangan air mata darah, dia membenamkan taringnya – dalam, ke tengkuk Sang Pahlawan.

*Nota penulis:

Terima kasih saya ucapkan, kerana kalian sabar membaca karangan sebegitu panjang. Terima kasih – kerana setia bersama Sang Pahlawan sampai ke hujung cerita ini.

Saya selesa dikenali dengan nama Nil – yang bermaksud ‘kosong’. Bukan sungai Nil, ya.

Maaf sekiranya cerita benar yang tuan puan cari, kerana saya tiada pengalaman yang menakutkan. Namun begitu, Sang Pahlawan dikarang sewaktu saya dibelenggu depresi; sewaktu saya menempuhi waktu tergelap dalam hidup saya. Waktu itu hanya kematian – di dalam fikiran saya. Ditemani lagu Haunted-Evanescence, saya menghabiskan kisah Sang Pahlawan.

Pembaca yang dihormati,

Nosferatu adalah perkataan kuno Romania yang sinonim dengan vampire. Kalau ada diantara pembaca yang mencari terma ini di dalam mana-mana enjin carian, mungkin yang anda jumpai – adalah Nosferatu (filem) ataupun ada kaitan dengan karya Bram Stoker, Dracula.
Saya sekadar mengutip terma nosferatu untuk membuat kisah ini lebih menarik. 🙂
Akhir kata, semoga tuan puan semua dilimpahi rahmat.

The post NIL – SANG PAHLAWAN appeared first on Fiksyen Shasha.

No comments