Farid yakin masih ada harapan, Diana minta doakan yang terbaik untuk keluarganya
Pasangan selebriti, Farid Kamil dan Diana Danielle hari ini hadir ke Mahkamah Syariah Tinggi Shah Alam bagi sebutan kes tuntutan hak penjagaan anak yang difailkan oleh Diana pada 23 Mac lalu.
Ketika ditemui media selepas keluar dari mahkamah, Farid berkata, rumah tangganya masih ada harapan untuk diselamatkan.
"11 tahun kita sudah mengharungi pelbagai rintangan. Jadi, harapan untuk rumah tangga saya letakkan pada Allah SWT.
"Harapan saya letak kepada Allah supaya suatu hari nanti kami akan kembali seperti biasa. Saya tak pernah berhenti berusaha untuk mencari anak dan isteri saya berada. Tapi pada bulan Ramadan ini, banyak limitasi di samping saya sedang sibuk dengan kerjaya sekarang," katanya.
Sementara itu, Diana yang kelihatan tenang dan mampu memberi senyuman kepada media sebaik saja keluar dari mahkamah memaklumkan segalanya sedang berjalan dengan baik dan meminta orang mendoakan yang terbaik untuk rumah tangganya.
"(Semuanya) berjalan dengan baik dan saya tak dapat nak ceritakan secara terperinci. Cuma doakan yang terbaik, harapnya kita dapat menemui jalan penyelesaian.
"Ini bukan (soal) menang kalah lah. Kita nak be fair to the children," katanya.
Ditanya mengenai sama ada anak-anaknya akan diberi peluang untuk pulang beraya ke kampung Farid, Diana enggan mengulas lanjut dan perkara itu masih dalam perbincangan.
Mengenai keadaan Aurora yang dikatakan trauma kerana insiden petik cili, Diana tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.
Peguam syarie yang mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, masih ada harapan untuk memulihkan keadaan di mana pihak di sebelah sana ada menyatakan keinginan untuk berbincang.
Sumber: Kosmo! Online, Instagram Era, Xtra
Post a Comment