'Apa salah saya sampai kena kecam?! Suara saya unik macam Michael Jackson, tolonglah terima!' - Aliff Syukri



Drama meraih simpati diteruskan. Terkini, ahli perniagaan sensasi, Aliff Syukri menyelar golongan netizen yang mengecam dan merendahkan bakat nyanyiannya yang dikatakan tidak pandai menilai seni suara. Apatah lagi, Aliff mendakwa suaranya adalah unik dan setanding dengan mendiang Raja Pop, Michael Jackson. 


"Apa salah saya sehinggakan lagu raya saya semua orang kecam?! Apa kurangnya saya?! Tolonglah rakyat Malaysia, buka mata! Dengar suara saya betul-betul, buka telinga!! 


"Esok dah nak release (lagu) ni. Ramai rakyat Malaysia tak pandai menilai seni suara. Suara saya unik macam Michael Jackson. Mohon terima dan akur saya artis nombor satu Malaysia. 


"Suara saya sedap dan merdu. Muktamad," katanya. 


Aliff sebelum ini dilapor mahu melancarkan video muzik (MV) lagu raya baharunya berjudul Cak Kun Cak Raya sempena Hari Raya Aidilfitri 2023. Namun MV itu dikecam ramai kerana penyanyi dan penari latarnya berpakaian ketat sekali gus dianggap mencemarkan kesucian bulan Ramadan. 



Semalam, Persatuan Konsortium Industri Rakaman Malaysia (IRAMA) tampil membuat laporan polis terhadap Aliff yang didakwa menghina kemuliaan bulan Ramadan dengan lagunya yang melanggar budaya dan tatasusila masyarakat. 


Menurut Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid berkata, Aliff juga merosakkan nilai dan tradisi baju Melayu ekoran berpakaian baju Melayu ketat dalam keadaan terkinja-kinja yang dilihat tidak sopan untuk dipertontonkan kepada umum. 


Selain itu, Ayob membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), serta menghantar surat kepada Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) bagi mendesak pindaan terhadap Akta SKMM sedia ada kepada hukuman denda lebih tinggi dan penjara. 



Aliff dalam reaksi awalnya terhadap laporan polis itu berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada peguamnya untuk tindakan lanjut kerana dia pada waktu ini sedang sibuk menjaga isterinya yang baru sahaja melahirkan anak keenam mereka. 


Sumber: Instagram Aliff Syukri, Utusan Malaysia

No comments