Wanita tertelan berus gigi ketika menggosok gigi
Sepasukan pegawai perubatan di Hospital Pakar Al Noor di Mekah, berjaya mengeluarkan sebatang berus gigi dari perut seorang pesakit wanita.
Lapor Gulf News, pesakit berusia 20 tahun itu terdahulu memaklumkan kepada doktor di jabatan kecemasan yang dia tertelan berus gigi secara tidak sengaja ketika menggosok gigi.
Menurutnya, berus gigi itu termasuk ke dalam tekak dan dia cuba mengeluarkan berus itu sendiri tanpa bantuan orang lain. Tetapi usahanya menemui kegagalan apabila dia tertolak berus gigi itu ke bahagian lebih dalam lalu termasuk ke dalam perutnya.
Selepas melakukan pemeriksaan termasuk x-ray dan CT-scan, wanita itu terus dibawa ke dewan bedah. Hanya dalam tempoh 20 minit, pasukan perubatan yang diketuai oleh pakar gastroenterologi, Dr. Mohammed Fazwi berjaya mengeluarkan berus gigi itu dari perut pesakit.
Dr. Motlaq Al Malki, Penolong Pengarah Perkhidmatan Perubatan di hospital itu berkata, wanita ini kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dipantau oleh pihaknya.
Post a Comment