'Wakil Rakyat kita macam pegawai kebajikan' - ADUN & EXCO Kelantan bakal nikmati kenaikan gaji RM3,000 - RM5,000
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) Kelantan dilaporkan bakal menikmati kenaikan gaji pokok antara RM3,000 hingga RM5,000.
Kenaikan itu adalah perlu bagi mengurangkan jurang perbezaan gaji yang dinikmati mereka berbanding wakil rakyat negeri lain, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Wakil rakyat di Kelantan katanya, diibaratkan sebagai pegawai kebajikan kerana ramai masyarakat di kawasan memerlukan perhatian dan bantuan mereka.
"Jadi, untuk merapatkan perbezaan ini, sekurang-kurangnya beza tak ketara dengan negeri lain. Sebab itu ada cadangan supaya kita selaraskan gaji wakil rakyat.
"Yang kedua, ini saya akan sebut dalam pembentangan memandangkan keadaan semasa semakin berat... kenaikan (gaji) wakil rakyat ni.. dia (wang) pergi ke orang ramai juga.. sebab wakil rakyat kita di Kelantan peranannya macam pegawai kebajikan. Siapa jadi wakil rakyat, dia tahulah," katanya.
Kerajaan Kelantan membentangkan Belanjawan 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ke-14 bermula hari ini.
Antara yang akan dibentangkan pada persidangan kali ini adalah rang undang-undang bertujuan untuk meminda Enakmen (Saraan) Anggota-Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri 1980 bagi membolehkan kenaikan serta penyelarasan gaji itu diluluskan.
Mohd Amar berkata, kenaikan gaji pokok itu berbeza antara menteri besar, Exco dan ADUN.
Sumber: Astro Awani
Post a Comment