(Video) Terkejut tengok singa di zoo dalam keadaan kurus sampai nampak tulang


Pengunjung di sebuah zoo di Nigeria terkejut apabila ternampak singa jantan yang ditempatkan di kandangnya dalam keadaan kurus kering bersama dengan beberapa haiwan yang lain di zoo berkenaan. 


Selepas penemuan yang menyayatkan hati itu, badan kebajikan hidupan liar mula melaksanakan misi menyelamat di 'zoo neraka' itu bagi menyelamatkan singa jantan tersebut yang tidak cukup makan. 


Bagaimanapun, haiwan itu perlu mendapatkan kembali tenaganya sebelum dilepaskan ke tempat perlindungan. Tetapi timbul pula persoalan, mampukah singa itu bertahan lama. 


Difahamkan, seorang lelaki berkunjung ke zoo berkenaan yang terletak di Kaduna, Nigeria. Selepas membayar tiket masuk $1 (RM4), dia ternampak singa itu dalam keadaan kurus kering seperti menunggu masa untuk mati di dalam kandang yang tidak terurus itu. 


"Reaksi pertama saya apabila melihat haiwan itu, saya rasa terkejut," kata lelaki itu yang enggan dikenali kepada wartawan. 


"Saya sangat terkejut, gelisah dan tidak senang duduk kerana itu pertama kali saya melihat singa di depan mata, macam kali pertama saya masuk ke zoo. Sebelum ini saya hanya melihat singa di dalam filem, berita dan majalah. 


"Sebenarnya, kebanyakan haiwan dalam zoo ini tidak diberi makanan yang secukupnya dan tidak diberi rawatan menyebabkan haiwan-haiwan ini mengalami malnutrisi," katanya. 


Terkilan melihat keadaan haiwan itu, dia mula membuat rakaman video menggunakan telefon bimbitnya dan segera menghubungi pihak kebajikan hidupan liar, WildatLife.e.V untuk membantu menyelamatkan singa tersebut. 



Video yang dirakam lelaki itu jelas sekali menunjukkan Raja Rimba berkenaan sangat kurus sehingga menampakkan bahagian tulang temulang berbanding singa jantan yang sihat kebiasaannya mempunyai berat 190 kilogram dan singa betina pula 127 kilogram. 


Singa yang diberi nama Zaki oleh pertubuhan kebajikan itu, berada dalam keadaan kritikal dan telah lama dibiarkan menderita. 


Walau bagaimanapun, WilfatLife.e.V bekerjasama dengan Persatuan Taman Zoologi Nigeria untuk membantu mencari doktor haiwan liar serta memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara itu. 


"Doktor haiwan telah dihantar untuk memberi bantuan perubatan kepada singa itu. Tetapi dia memerlukan rawatan lebih lanjut yang akan ditanggung oleh WilfatLife. Kami sedang menunggu diagnosis penuh dari doktor haiwan dan melaporkan bagaimana dan mengapa perkara ini boleh berlaku. 


"Zaki kini sedang menerima rawatan dan kes dalam siasatan. Kalau Zaki dapat diselamatkan, kami akan meletakkannya di tempat perlindungan. Tetapi dalam keadaannya yang kritikal pada waktu ini, usaha itu tidak dapat diteruskan buat sementara waktu," katanya jurucakap berkenaan. 


Haiwan-haiwan yang lain akan turut dibantu. Tidak diketahui mengapa zoo itu terus dibuka kepada orang awam meskipun haiwan dalam zoo itu berada dalam keadaan yang menyedihkan. 


Sumber: Daily Mail

No comments