(Video) 'Saya sangat stress, mungkin esok saya dah tiada lagi' - Bekas pengurus rempuh kilang & baling botol petrol sebelum maut dilanggar treler
Lewat petang Khamis, 5 November 2020, seorang bekas pengurus kilang yang baru diberhentikan kerja dilaporkan maut akibat dilanggar treler. Sebelum itu, lelaki berkenaan yang menaiki kereta Honda Civic, merempuh masuk ke kilang dan membaling botol petrol sehingga menyebabkan kebakaran.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian itu berlaku di Jalan Kuala Kangsar dan pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.30 malam.
Siasatan awal mendapati, pada jam 6.42 petang, lelaki berusia 52 tahun itu yang baru diberhentikan bertindak menceroboh masuk ke kawasan kilang menggunakan kereta tanpa kebenaran.
Suspek kemudian terus memandu dan merempuh ke dalam Bahagian Fasa 1 Kilang. Suspek membaling botol petrol ke dalam Pejabat Sumber Manusia di premis tersebut dan kembali semula ke keretanya sebelum memandu laju lalu merempuh bilik 'Production Labelling Department' sehingga menyebabkan kebakaran.
Suspek terus keluar meninggalkan kawasan itu melalui pintu utama. Saksi mendakwa lelaki itu dipercayai sengaja melintas jalan dan dilanggar treler pada jam 7.45 petang, yang menyebabkan dirinya maut.
Polis percaya motif kejadian itu adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan kilang atas penggantungan kerjanya sejak September lalu kerana masalah disiplin. Selain itu, pihak kilang sedang menyiasat suspek yang didakwa mengugut pihak atasan kilang.
Kerugian yang dialami oleh kilang tersebut akibat dari kejadian itu adalah RM1 juta. Tiada sebarang kecederaan yang dialami oleh pekerja kilang dalam kejadian yang tidak disangkakan itu.
Polis sedang menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 427/448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
VIRAL VIDEO SUSPEK BUAT PENJELASAN SEBELUM KEJADIAN ITU BERLAKU
Sementara itu di media sosial, viral video penjelasan dari suspek yang mendakwa dia telah ditindas dan disabotaj sehingga menyebabkan dia mengalami stress serta perlu bergantung kepada ubat-ubatan.
Dalam video berdurasi 14 minit 14 saat itu, lelaki itu menjelaskan dia mula bekerja dengan kilang tersebut sejak tujuh tahun lalu dan tidak mempunyai sebarang masalah disiplin. Namun semenjak datangnya pengarah program yang baru, dia tidak diberikan bonus tepat pada masanya dan beberapa lagi hak yang sepatutnya diperolehinya.
Menjelaskan lebih lanjut, katanya pihak atasan telah menuduhnya menjadi punca kegagalan pengeluaran produk yang menurutnya pihak berkenaan sedang mencari 'kambing hitam' untuk menanggung kesalahan itu. Sedangkan selama dia bekerja, tidak pernah timbul isu sebegitu.
"Saya tidak faham kenapa mereka bercakap tentang prestasi kerja saya dan menuduh saya di atas perkara tersebut. Masalahnya sudah tiga minggu, saya tidak mendapat sebarang maklumbalas.
"Tahu tak bertapa stressnya saya pada waktu ini? Saya bukan pengemis, saya sepatutnya dibayar mengikut kerja yang telah saya lakukan. Secara jujurnya saya tidak tahu apa yang berlaku.
"Tiga orang (yang namanya disebut) sedang mensabotaj saya. Mereka cuba lakukan sesuatu terhadap saya. Jika saya mempunyai masalah prestasi, mereka sepatutnya memaklumkan kepada saya, tetapi tiada. Malah tiada bukti di atas tuduhan itu," katanya.
Dia juga pernah menghantar emel kepada pihak atasan untuk bersemuka dan berbincang mengenai masalah itu, tetapi emel itu tidak dibalas.
"Saya tak tahu kenapa mereka tangguhkan kes saya begitu lama. Mereka ajukan sebanyak 124 soalan kepada saya. Daripada jumlah itu, 109 adalah soalan mengenai prestasi kerja saya. Hanya 15 soalan yang berkaitan dengan dakwaan mengugut dan kegagalan produk. Saya jawab semua soalan itu dengan baik mengikut pengetahuan saya.
"Saya sangat stress pada masa ini. Entahlah, mungkin saya tiada lagi pada keesokan hari. Siapa tahu? Mungkin dengan kehidupan tertekan ini.." katanya yang juga menunjukkan ubat-ubatannya diambilnya untuk membantu masalah tekanannya itu yang disebabkan individu-individu berkenaan.
Baginya, tempoh tujuh tahun lalu dia sangat gembira dengan kerjanya tetapi semenjak individu berkenaan datang, kesemuanya berubah. Dia mendakwa, bukan dia sahaja yang merasa tekanan itu, malah kakitangan yang lain turut merasa tekanan itu.
Dua laporan polis juga telah dibuat olehnya. Laporan polis pertama mengenai apa yang sedang dihadapinya di tempat kerja, manakala laporan kedua pula adalah berkenaan sifat perkauman yang berlaku di tempat kerjanya.
"Tapi satu perkara saya nak beritahu jika ada sesuatu yang berlaku kepada saya, orang yang patut dipenjarakan adalah tiga orang ini," katanya.
Video tersebut dimuat naik di laman YouTube Nissa Nis sejak semalam dan telah ditonton lebih 99,070 tontonan. Ramai yang bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap lelaki itu.
Sumber: Harian Metro, YouTube Nissa Nis
Post a Comment