'Dah dapat hak penjagaan, dirogolnya anak perempuannya sendiri' - Remaja lari dari rumah, tak tahan dirogol bapa sejak Februari lalu
Tak tahan dirogol bapa sejak Februari lalu mendorong seorang remaja perempuan bertindak melarikan diri dari rumahnya pada Ahad lalu, 1 November 2020.
Mangsa yang bersendirian di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur, mahu pulang ke rumah ibunya di Kuala Nerang, Kedah, terserempak dengan polis dan menceritakan perbuatan terkutuk suspek.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa mendakwa dia telah dirogol oleh suspek berusia 42 tahun itu di rumah secara berterusan setiap minggu, kecuali ketika mangsa datang bulan, tanpa pengetahuan sesiapa.
Suspek selalu merogol mangsa pada awal pagi ketika semua ahli keluarganya sedang tidur. Perbuatan suspek itu menyebabkan mangsa berasa ketakutan dan tertekan serta pernah cuba membunuh diri dengan meminum cecair pencuci lantai pada Jun lalu.
Difahamkan, mangsa merupakan anak tunggal yang masih bersekolah dan ibu bapanya pula sudah bercerai sejak 2004, sebaik saja mangsa dilahirkan. Mangsa sebelum ini tinggal bersama ibunya, tetapi bapanya pula diberikan hak penjagaan lalu membawa mangsa tinggal bersama isteri serta empat anak tirinya di rumah mereka.
Suspek telah ditahan di rumahnya sehari selepas mangsa membuat laporan polis. Semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod kes lampau yang membabitkan kes rogol sumbang mahram yang membabitkan adik iparnya pada 2004.
Suspek direman selama seminggu untuk siasatan di bawah Seksyen 376A Kanun Keseksaan kerana melakukan rogol secara sumbang mahram.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment