6 pelarian UNCHR ditahan kerana rogol remaja perempuan 15 tahun


Polis menahan enam lelaki warga asing kerana disyaki memperkosa seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang melarikan diri dari sebuah rumah perlindungan. 


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, mangsa sebelum itu ditemui oleh pegawai polis, ketika melepak dan merayau seorang diri di Taman Komersial Pandan Indah, jam 5.30 petang Sabtu, 31 Oktober 2020. 


Siasatan awal mendapati, mangsa sudah tidak bersekolah dan pernah mendapat perlindungan, tetapi melarikan diri sejak awal tahun lalu. Tambahan, ibu bapanya pula sudah bercerai. 


Mangsa yang disyaki dirogol beberapa lelaki warga asing di sekitar Ampang, kemudian dibawa ke balai polis berhampiran sebelum dihantar ke Hospital Ampang untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan. 


Hasil dari maklumat yang diberikan oleh mangsa, enam lelaki warga asing berusia 16 hingga 25 tahun yang bekerja sebagai buruh, berjaya ditahan semalam. Dua daripada enam suspek terbabit didapati positif dadah jenis opiat dan Tetra Hydrocannibol.


Kesemua suspek yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) itu direman selama 15 hari sehingga 15 November 2020 untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro

No comments