Kanak-kanak maut demi selamatkan ibunya dari perogol dianggap mati syahid
Kematian kanak-kanak lelaki bernama Rangga yang maut ketika cuba mempertahankan ibunya dari dirogol penjenayah pada malam Sabtu (10/10/2020) di Aceh, Indonesia meninggalkan kesan yang dalam pada masyarakat.
Tubuh kecil yang ditetak dengan membabi buta oleh suspek yang kemudian dibuang ke sungai, hanya ditemui selepas dua hari polis melakukan gerakan mencari mayat mangsa.
Ramai yang menggelar Rangga sebagai pahlawan cilik meskipun tahu badannya kecil, namun dia tetap berani mempertahankan ibunya sehingga kehilangan nyawa.
Kejadian yang tragis itu turut mengundang perhatian dari seorang ustaz di negara itu yang mengajak masyarakat menjadikan kes itu sebagai contoh betapa pentingnya menjaga kehormatan seorang ibu walaupun nyawa menjadi pertaruhan.
Ustaz Abdul Somad menerusi akaun Instagramnya juga memetik hadis Nabi Muhammad SAW tentang ganjaran mati syahid bagi orang yang terbunuh kerana membela keluarganya.
"Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang terbunuh kerana membela keluarganya, maka ia mati syahid". (HR. at-Tirmidzi)", tulisnya.
Menurut Ustaz Abdul Somad lagi:
"Anakanda Rangga, dengan perbuatanmu engkau telah mengajar pada anak bangsa ini tentang erti menjaga kehormatan, walaupun mesti dibayar dengan nyawa. Engkau hadap Allah tanpa dosa, kerana belum aqil baligh.
"Engkau mulia dengan darjat syahid. Syahid bererti disaksikan, kerana seluruh malaikat menyambut rohmu. Syahid bererti menyaksikan, kerana engkau telah menyaksikan tempatmu di syurga sebelum kematian tiba.
"Engkau merasakan sakaratulmaut hanya seperti cubitan lembut pada kulit yang halus. Engkau terbebas dari azab kubur dan hisab.
"Rohmu berada di paruh burung-burung berwarna hijau terbang kian kemari di dalam syurga. Bila engkau diberi Allah kuasa untuk memberi syafaat, berikanlah sebahagiannya untuk hamba Allah yang hina: Abdul Somad," tulisnya.
Sumber: Instagram Ustaz Abdul Somad
Post a Comment