'Kami sekeluarga terpaksa makan tikus sebab tiada duit' - Golongan miskin di Myanmar terjejas teruk akibat Covid-19

Pandemik Covid-19 yang mula dikesan di Wuhan, China sejak Disember 2019 masih menular di seluruh dunia. Virus itu bukan hanya menyebabkan kematian di kalangan manusia, tetapi juga melumpuhkan sektor ekonomi. 


Banyak negara-negara yang terkesan dari penularan wabak ini dan rakyat terutamanya golongan miskin terpaksa bertahan dan menjalankan kehidupan norma baharu demi kelangsungan hidup sehingga ada yang terpaksa memakan tikus seperti yang berlaku di Myanmar. 


Menurut laporan Reuters 25 Oktober 2020, setelah gelombang pertama Covid-19 melanda negara itu pada Mac lalu, banyak perniagaan kecil-kecilan terpaksa ditutup. 


Ma Suu, 36, salah seorang peniaga yang terpaksa menutup gerainya dan mengadaikan barang rumah dan barang kemasnya untuk membeli makanan. 


Ketika gelombang kedua pula, kerajaan mengeluarkan arahan kepada rakyat untuk terus duduk di rumah pada September lalu menyebabkan Ma Suu sekali lagi menutup gerainya. Bagi memastikan keluarganya terus bertahan, Ma Suu menjual pakaian dan pinggan mangkuknya untuk membeli makanan. 


Oleh kerana tiada lagi barangan yang dapat dijual, suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai buruh dan kini menganggur, terpaksa keluar mencari makanan. 


"Kami makan tikus dan ular. Bila dah tak ada pendapatan, itu yang kami dan anak-anak terpaksa makan," katanya sambil menangis. 


Difahamkan, Ma Suu sekeluarga tinggal di Hlaing Thar Yu, daerah termiskin di Yangon di mana penduduknya keluar pada waktu malam mencari binatang-binatang seperti tikus, ular dan serangga di kawasan semak untuk menghilangkan rasa lapar.


Ahli Parlimen parti kerajaan, Myat Min Thu, berkata, kerajaan ada memberi bantuan dan sumbangan peribadi kepada rakyat yang terjejas. Tetapi sayangnya bukan semua yang mendapat bahagian masing-masing. 


Sumber: Reuters

No comments