(Video) Lelaki mengamuk hancurkan motosikal sebab tak puas disaman polis
Seorang lelaki mengamuk dan bertindak merosakkan motosikalnya sendiri kerana tidak puas hati disaman oleh anggota polis trafik atas kesalahan lalu lintas yang dilakukannya.
Difahamkan, Polis di Karimun, Indonesia melaksanakan operasi pematuhan peraturan/undang-undang lalu lintas selama dua minggu bermula 26 Oktober hingga 8 November 2020 bagi memastikan pengguna di daerah itu berdisiplin.
Namun pada hari kedua operasi iaitu Selasa, 27 Oktober 2020, berlaku kejadian yang membingungkan membuatkan dua anggota polis terkedu melihat gelagat seorang lelaki yang gagal mengawal kemarahan dirinya.
Menurut laporan media tempatan, pemilik motosikal itu tidak dapat menerima kenyataan yang dia ditahan dan disaman kerana dipercayai melanggar peraturan lalu lintas. Malah, dia bertindak merosakkan kenderaannya itu menggunakan konkrit yang ditemui berhampiran.
"Korang takkan dapat," katanya sambil disaksikan oleh dua anggota polis yang hanya memandang perbuatannya tanpa berbuat apa-apa.
Video kejadian itu viral di media sosial dan menjadi bahan bualan netizen di negara itu. Ada juga yang mempersoalkan, mengapa dua anggota berkenaan langsung tidak bertindak menenangkan lelaki itu.
"Dik, walaupun motosikal kau hancur, polis tetap akan bagi saman. Hahaha! Jadi, apa gunanya kau rosakkan motor tu?" kata netizen.
"Kau rosakkan pun tak guna, banyak duit kau yang perlu dikeluarkan untuk baiki motor tu nanti," tambah netizen lain.
Sumber: Makassar Info
Post a Comment