'Kami mohon maaf tak dapat besarkan Muhammad Arif atas sebab ekonomi' - Bayi lelaki ditemui di pintu pagar surau
Seorang bayi lelaki ditemui di dalam kotak yang diletakkan di pintu pagar utama Surau Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang, hari ini.
Ketua Guru Sekolah Agama Rakyat Kafa Integrasi Nurul Huda, Mohd Maidin Abdul Rahim, 38, berkata, bayi itu ditemui pada jam 7.15 pagi di dalam kotak yang dilengkapi dengan lampin pakai buang, bedak serta tisu basah.
Selain itu, sekeping nota turut ditemui yang dipercayai ditulis oleh ibunya yang memohon maaf kerana tidak berkemampuan membesarkan bayi itu kerana mengalami masalah kewangan. Namun, dia berterima kasih sekiranya ada individu yang sudi membesarkan anaknya itu.
Mohd Maidin berkata, dia pada awalnya menyangka ada orang membuang anak kucing di depan suraunya. Lalu dia mengambil keputusan untuk membukanya dan terkejut apabila mendapati ada bayi di dalam kotak tersebut yang dipercayai ditinggalkan di situ selepas Solat Subuh.
Difahamkan, hanya ada beberapa jemaah sahaja yang dibenarkan solat di surau itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Jemaah yang ditemui juga memaklumkan mereka tidak menyedari kotak tersebut dan berkemungkinan diletakkan di situ selepas mereka keluar dari surau.
Meskipun bayi itu ditinggalkan dalam keadaan yang terdesak, Mohd Maidin terkilan dengan sikap ibu bapa bayi itu yang dikatanya tidak bertanggungjawab dan itu merupakan kejadian pertama kali berlaku di kampung tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa mengesahkan penemuan bayi lelaki itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan.
Sumber: Berita Harian
Post a Comment