Isteri nekad bunuh suami buta untuk milik harta lebih RM2 juta
Demi mendapatkan harta suami bernilai lebih RM2 juta, seorang wanita nekad membunuh lelaki buta itu.
Menurut laporan Kosmo, kejadian itu berlaku pada 12 tengah hari 1 Oktober lalu di mana wanita itu mengupah adik lelakinya untuk membunuh ahli perniagaan itu di kediaman mereka di Jalan Jati, Kampung Sungai Chua.
Namun, perbuatan dua beradik itu terbongkar selepas suspek berusia 45 tahun itu ditahan untuk siasatan berhubung laporan dibuatnya yang mendakwa mangsa disamun oleh individu yang tidak dikenali di hadapan rumah mereka.
Berdasarkan maklumat dari sumber, mangsa didatangi seorang lelaki di perkarangan rumah sebelum suspek bertindak memukul kepalanya menggunakan tukul besi dan melarikan rantai mangsa.
Mangsa yang cedera dimasukkan ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia pada 10 Oktober 2020.
Laporan polis yang dibuat oleh isteri pertama mangsa bagaimanapun menimbulkan keraguan yang menyebabkan dia ditahan polis untuk membantu siasatan.
Dalam tempoh ditahan, suspek akhirnya mengaku telah merancang pembunuhan suaminya sendiri semata-mata untuk memiliki harta mangsa termasuk aliran tunai bernilai lebih RM2 juta termasuk RM800,000 daripada insurans mangsa.
Difahamkan, ahli perniagaan berusia 59 tahun yang mengalami cacat penglihatan sejak 20 tahun lalu (penyakit genetik keluarga) itu menjalankan perniagaan lori dan besi buruk.
Mangsa juga mempunyai dua isteri dan enam orang anak berusia lingkungan belasan tahun dan 20-an.
Polis turut menahan suspek lelaki (adik suspek pertama) berusia 42 tahun pada Ahad lalu.
Senjata yang digunakan suspek kedua, tukul besi, yang disembunyikan di sebuah kedai besi buruk milik mangsa juga dirampas. Rantai leher mangsa juga ditemui di lokasi yang sama.
Kedua-dua suspek akan dituduh di mahkamah pada Khamis ini.
Sumber: Kosmo
Post a Comment