Bapa alami serangan jantung ketika bantu anak selesaikan soalan matematik

Seorang lelaki berusia 45 tahun di China mengalami serangan jantung selepas berasa bengang ketika membantu anaknya membuat kerja sekolah subjek matematik. 


Mangsa, Liu, terdahulu membantu anak lelakinya (Tahun 3) membuat kerja sekolah sejak sesi persekolahan dibuka semula bulan lalu. Namun sejak dua minggu lalu, Liu kerap mengalami sakit ringan di dadanya setiap kali dia kecewa dengan anaknya itu. 


Keadaannya semakin teruk pada Ahad lalu ketika Liu bengang kerana terpaksa mengulangi soalan matematik yang sama kepada anaknya sebanyak tiga kali, yang berusaha mencari jawapannya. 


Sehinggalah Liu mengalami sakit dada yang teruk dan sukar bernafas lalu terjatuh dan pengsan. Tidak lama kemudian, Liu bangun semula dan pergi mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Shenzen.


Sebaik saja tiba di hospital, mangsa pengsan sekali lagi dan mula mengalami kekejangan serta mulutnya berbuih. Pihak hospital segera memberikan rawatan dan mangsa dijadualkan untuk menjalani pelbagai ujian bagi mengetahui punca keadaannya menjadi seperti itu. 


Difahamkan, sebahagian dari arteri koronari utama mangsa tersumbat yang menyebabkan bekalan darah ke jantung terjejas, Doktor juga tidak menolak tabiat mangsa yang merokok bertahun-tahun menyumbang kepada keadaan itu dan serangan jantung itu berlaku disebabkan oleh tekanan dan kemarahannya yang melampau ketika membantu anaknya membuat kerja sekolah. 


Bagaimanapun Liu bernasib baik kerana datang ke hospital tepat pada masanya. Jika tidak, masalah jantungnya itu boleh menyebabkan dia maut. 


Selepas menjalani pembedahan, Liu kini berada dalam keadaan stabil dan sedang pulih secara perlahan-lahan di hospital tersebut. 


November 2019, seorang wanita juga pernah mengalami serangan jantung ketika membantu anaknya menyelesaikan soalan matematik. 


Sumber: Oddity Central 


No comments