'Saya minta dia bersabar, tapi hati dia sudah tawar' - Padah bergurau mahu poligami, isteri tuntut cerai dari suami
Apabila menyebut sahaja isu poligami, kebanyakan lelaki tersenyum simpul, manakala si isteri pula bermuram duka mengenangkan nasib jika bermadu. Hakikat sebenar rasa madu itu manis tetapi madu berpoligami sebaliknya.
Seorang wanita yang juga merupakan seorang peguam berkongsikan kisah anak guamnya yang mahu meminta cerai dari suaminya hanya kerana gurauan untuk berpoligami. Isu ini tampak mudah, tetapi bagi seorang isteri perkara ini meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwanya.
POLIGAMI. Gurauan yang melukakan. Malam ini saya menangis. Emosi saya sebagai isteri tersentuh dengan luahan hati seorang anak guam. Seorang isteri mengadu kepada saya bahawa dia ingin meminta cerai dari suaminya kerana tidak tahan dengan suami yang suka bergurau mengenai poligami.
Ya, nampak sebegitu remeh, namun saya yang juga seorang isteri, boleh memahami. walaupun ianya sekadar gurauan tapi jika sudah diulang bertahun-tahun, luka yang terguris itu boleh menjadi dalam dan meretakkan hati si isteri.
Saya minta dia bersabar dan cuba bertenang sebelum ambil tindakan terburu-buru. Namun hatinya tawar, bukan kerana si suami memang akan melakukan poligami, tapi kerana gurauan berulang kali itu menunjukkan suaminya tidak endah dengan perasaannya sebagai isteri.
Isteri yang berkorban jiwa raga melahirkan dan membesarkan anak-anak, isteri yang berkorban wang ringgit untuk membantu belanja rumahtangga bagi meringankan beban suami, isteri yang mengutamakan keluarga suami lebih dari keluarganya sendiri demi mengharapkan redha si suami dan demi kasihnya kepada suami.
Saya sebagai peguam syarie perlu profesional, walaupun saya sendiri sangat geram bila mendengar ceritanya, saya tidak boleh terhanyut dengan perasaan sebagai isteri dan mendorongnya supaya meneruskan dengan niat ingin bercerai. Kerana seorang peguam syarie perlu menasihati mengikut apa yang dibenarkan syarak. Dan syarak membenarkan poligami bagi yang layak.
Cuma pesanan saya kepada para suami, sekalipun anda layak berpoligami atau anda hanya bergurau, ketahuilah bahawa seorang isteri, sekalipun dia diam, atau sekalipun dia seorang yang faham agama dan menerima poligami sebagai amalan dibenarkan Islam, ianya bukanlah lesen untuk anda melukakan hatinya sebelum masanya. Kalau belum lagi layak berpoligami atau tak ada niat untuk berpoligami, buat apalah bergurau sebegitu.
Apa tujuan anda sebenarnya? Adakah sebab nak prepare mental isteri awal-awal supaya bila berlaku nanti, dia takkan terkejut sangat?
Buat apa merosakkan kebahagiaan sedia ada dengan benda-benda yang belum pasti? Kalau memang dah jodoh anda akan beristeri lebih, tunggu sajalah bila Allah kata sudah sampai masanya. Tak perlulah menjejaskan perasaan isteri sebelum tiba masanya. Tak berbaloi langsung.
Saya katakan pada si isteri, tanyakan suami puan,
"Abang suka ke kalau ayah abang menduakan ibu abang? Suka ke kalau ipar abang menduakan adik beradik perempuan abang? Suka ke kalau anak perempuan kita nanti dimadukan?"
Walaupun ia dibenarkan islam. Saya hampir pasti jawapan si suami “Tidak suka”.
Jadi kalau si suami boleh memahami perasaan perempuan yang sedarah-daging dalam keluarganya, kenapa susah nak memahami perasaan isteri sendiri? Kenapa perlu perasaan si isteri diremehkan dengan gurau senda yang menyakiti hati. Walaupun dibenarkan syarak untuk suami yang layak berpoligami, syarak tidak membenarkan suami menyakiti hati isterinya dengan sengaja. Walaupun si isteri tidak melawan hukum Allah berkenaan poligami, tapi mana-mana isteri tetap akan terluka dengan tindakan suami yang menduakan tanpa redhanya.
Kalau isteri sendiri redha suami berpoligami dari awal, then takpe, tapi golongan sebegini memang sangat sukar dicari. Kebanyakan isteri hanyalah manusia biasa yang punyai perasaan. Seperti mana suami-suami tak boleh terima jika isteri berkahwin dengan lelaki lain selepas bercerai dengannya, begitu jugalah seorang isteri sukar menerima suaminya dikongsi dengan perempuan lain.
Saya faham, namun saya terkilan kerana tidak dapat memenangkan si isteri kerana hakikatnya perceraian itu tidaklah sepatutnya atas alasan hanya disebabkan gurauan suami. Melainkan suami sudah berpoligami dan terbukti dia tidak adil.
Semua ini pengajaran untuk seorang isteri juga. Bahawa cinta manusia itu sangatlah sementara. Jangan dikejar cinta suami kerana dia hanyalah manusia yang boleh berubah hatinya. Cinta yang layak kita utamakan hanyalah cinta Allah dan RasulNya.
Tapi saya mohon para suami tetap sensitif dengan hati isteri anda. Isteri hanya manusia biasa. Simpanlah gurauan itu hanya bila nak eksyen dengan kawan-kawan sesama lelaki.
Isteri biasa,
Ashikin Rahim
13-2-2020
Sumber: Ashikin Rahim
Post a Comment