Budak 3 tahun hilang selepas ditinggalkan bersendirian di sebuah ladang kelapa sawit


Seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun dilaporkan hilang setelah ditinggalkan bersendirian oleh bapanya di sebuah ladang kelapa sawit di Rapak Baru, Pantu, Sri Aman, kira-kira 140 kilometer dari sini, semalam.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, kanak-kanak yang dikenali sebagai Igih Ben itu hilang dari pondok dia ditinggalkan selepas bapanya selesai membantu petugas Sarawak Forestry Corp (SFC) hari ini.

Difahamkan kanak-kanak itu mengikut bapa dan datuknya yang mengiringi petugas SFC untuk membuat kerja penandaan pada pokok dalam hutan bersebelahan ladang itu.

Ia terletak kira-kira satu kilometer dari pondok tersebut.

“Memandangkan laluan menuju ke pokok tersebut perlu melalui bukit yang curam, bapa mangsa telah meninggalkan anaknya di sebuah pondok kecil dengan hanya berbekalkan botol susu sebelum meneruskan perjalanan bersama datuk mangsa,” menurut kenyataan itu.

Sekembalinya bapa mangsa ke pondok itu, dia mendapati anaknya tidak lagi berada di situ dan seorang penduduk yang kebetulan sedang menuai padi berdekatan kawasan itu mendakwa ada melihat kanak-kanak tersebut berjalan ke arah motosikal yang diparkir bapanya dalam jarak 200 meter dari pondok itu.

“Ekoran gagal menemui anaknya, bapa mangsa telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Sri Aman yang seterusnya memaklumkan Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman pada pukul 2.33 petang tadi,” menurut kenyataan itu lagi.

Sehingga pukul 8 malam tadi, gerakan mencari dan menyelamat melibatkan empat petugas Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman diketuai Pegawai Bomba Kanan II Chimiam Duyu, dua anggota polis dari Balai Polis Pantu serta 20 orang penduduk kampung masih gagal menemui kanak-kanak berkenaan.

Sumber: Bernama

No comments