Lelaki tikam ibunya sampai mati kerana bimbang perbuatannya merogol anak kandung dilaporkan kepada polis
Seorang pembantu ketua kampung telah didakwa membunuh dan mengerat mayat ibu kandungnya kerana marah apabila mangsa mengugut mahu melaporkan kepada polis yang dia telah merogol anak perempuannya sendiri.
Pegawai penyiasat berkata, suspek berusia 35 tahun, dari Kampung Hua Wiang, Chiang Rai, Thailand, mengaku melakukan jenayah itu kepada Ketua Kampung pada Jumaat lalu.
Ketua kampung itu kemudian meminta suspek menyerah diri kepada pihak polis. Nama suspek dan mangsa tidak didedahkan bagi melindungi identiti mangsa rogol.
Polis kemudian datang ke rumah dan suspek membawa mereka ke sebuah bilik di mana dia telah menyembunyikan mayat ibunya di dalam satu bekas berisi batu ais. Tetapi kepala mangsa tiada di dalam bekas tersebut.
Suspek memberitahu, kepala mangsa telah ditanam di tepi jalan dan dia akan membawa polis ke lokasi itu kelak.
Suspek kemudian ditahan dan siasatan awal mendapati, suspek telah bercerai dengan isterinya kira-kira setahun lalu dan tinggal bersama dengan anak perempuannya berusia 15 tahun.
Mangsa dapat menghidu perbuatan suspek merogol anak kandungnya sendiri, lalu berdepan dengan suspek dan tercetus pertengkaran di antara mereka.
Mangsa mengugut mahu membuat laporan kepada polis. Takut ditangkap, suspek terus mengambil pisau dan menikam ibunya sehingga mati.
Bagi menghapuskan bukti, suspek mengerat mayat ibunya dan diletakkan dalam bekas sebelum ditabur dengan batu ais.
Sehari kemudian, suspek berkelakuan seperti biasa. Namun ketiadaan mangsa membuatkan ramai yang tertanya-tanya di mana keberadaannya.
Suspek hanya mendiamkan diri sehinggalah dia mengambil keputusan untuk mengaku telah membunuh mangsa.
Sumber: Bangkok Post
Post a Comment