'Nak masuk lokap lelaki ke perempuan?' - Gagal hadir tanpa alasan, mahkamah keluar waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad Kamaruzzaman
Gagal hadir tanpa sebarang alasan bagi pendakwaan kes di mahkamah, Mahkamah Majistret Shah Alam semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad Kamaruzzaman.
Terdahulu, lelaki itu dituduh memiliki 11 produk bukan keluaran berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut Peraturan 7(1)(a) Dadah dan Kosmetik 1984, bagi tujuan jualan.
Jika Muhammad Sajjad didapati bersalah, dia boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda tidak melebihi RM25,000 atau kedua-duanya sekali.
"Waran tangkap itu dikeluarkan terhadap Muhammad Sajjad kerana tidak hadir tanpa sebarang alasan bagi pendakwaan kes di mahkamah.
"Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Nor Aini Suzila Zakariah dari Cawangan Penguat Kuasa Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor," kata sumber.
15 Ogos lalu, CPF melakukan pemeriksaan di premis milik Muhammad Sajjad di Shah Alam, Selangor. CPF turut merakam keterangan dari beberapa kakitangan termasuk Muhammad Sajjad selaku pengarah syarikat itu.
CPF menemui produk yang disyaki bukan keluaran berdaftar dengan KKM, lalu dirampas. Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat yang diperiksa itu adalah berdaftar dan semua produk yang dirampas adalah milik MUhammad Sajjad untuk tujuan jualan.
Syarikat Muhammad Sajjad didapati melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment