Pondan berbogel di KL berdepan hukuman penjara 5 tahun
Seorang pelancong lelaki warga Filipina yang berbogel sambil berjalan, yang videonya tular baru-baru ini, didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Kent Caburnay Acuin, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memanjat sebuah kereta dalam keadaan berbogel dengan niat mengganggu kesantunan orang awam di Jalan Sultan Ismail di sini pukul 10.40 pagi, 13 Mac lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya B. Rajdeep Singh tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh, yang tidak diwakili peguam, kerana dia warganegara asing selain tidak mempunyai penjamin rakyat Malaysia.
Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman menetapkan 22 April untuk sebutan semula kes.
Semalam, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret berlainan di sini kerana berkelakuan tidak sopan dan menggganggu ketenteraman awam dengan memanjat kereta sama dalam keadaan berbogel di tempat, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, yang membawa hukuman denda maksimum RM100.
Tertuduh hadir ke mahkamah hari ini dengan memakai T-shirt kelabu, berseluar paras lutut dan berkepala botak.
Media sebelum ini melaporkan video tertuduh yang tidak berpakaian dan berjalan di tengah jalan raya sekitar Jalan Imbi serta berdiri di bumbung sebuah kereta tular di laman sosial.
Tertuduh kemudian dihantar ke Penjara Sungai Buloh. - Bernama
Post a Comment