8 kucing mati, 3 kebuluran ditinggalkan pemiliknya dalam rumah kosong


Penduduk di rumah teras di Bandar Mahkota Cheras mengadu mengalami masalah bau busuk yang dipercayai datang dari salah sebuah rumah berdekatan. 

Bimbang sekiranya bau itu datang dari bau mayat, penduduk membuat aduan kepada pihak berkuasa pada Isnin lalu yang kemudian datang memeriksa rumah tersebut.

Bagaimanapun tiada mayat yang ditemui tetapi terdapat lapan bangkai kucing terperangkap dalam rumah berkunci. 

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn, Mohamad Akmal Mohamad Khairi berkata, mereka dimaklumkan oleh pihak polis mengenai aduan itu. 

"Penduduk di situ berkata, bau busuk itu seperti bau mayat yang sudah membusuk dari salah satu rumah di kawasan kejiranan itu di mana rumah itu telah dikosongkan lebih daripada sebulan. 

"Empat anggota bomba bersama satu jentera dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mencari jalan masuk ke dalam rumah tersebut," katanya. 

Pemeriksaan di rumah itu mendapati terdapat lapan bangkai kucing telah mereput dan hanya beberapa ekor kucing saja yang masih hidup.

"Kami juga menemui tiga ekor kucing yang masih hidup. Tetapi keadaan haiwan itu teruk kerana kebuluran. 

"Anggota bomba memberi makanan dan minuman kepada kucing itu dan kami telah menyerahkan perkara itu kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya. 

Difahamkan, pemilik kucing sebelum ini telah menyewa rumah itu. Polis tidak menolak kemungkinan bahawa pemilik kucing terlupa atau sengaja meninggalkan haiwan peliharaannya itu. 

No comments