(Video) Anak pijak kucing sampai patah tengkuk dan mati, ibunya tengok saja


Malang nasib seekor anak kucing dipijak sehingga mati oleh seorang kanak-kanak lelaki sambil diperhatikan oleh ibunya tanpa sebarang rasa bersalah. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 11.30 pagi 27 November lalu di hadapah lif Blok A, Pangsapuri Enggang 6F, Bandar Kinrara Puchong, anak kucing berusia lingkungan lima bulan itu mati akibat dipijak sehingga menyebabkan tengkuknya patah.

Persatuan Haiwan Malaysia (PHM) yang memuat naik video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Facebooknya berkata, dua beranak berkenaan merupakan penduduk di bangunan kediaman itu.

"Beberapa penduduk yang prihatin dengan nasib kucing malang tersebut telah membawanya ke klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan.

"Namun doktor mengesahkan bahawa kucing itu telah mati," katanya. 

Menurut PHM ada beberapa penduduk yang tampil menegur perbuatan dua beranak terbabit. Malangnya wanita itu bertindak memarahi dan memaki hamun mereka. 

Berdasarkan video CCTV, anak kucing itu datang ke arah dua beranak berkenaan dan hampir dipijak oleh wanita terbabit yang terkejut melihat kehadiran kucing itu. 

Anak wanita itu bagaimanapun secara tiba-tiba memijak kepala anak kucing malang itu menyebabkan haiwan itu mengelupur. 

Wanita terbabit langsung tidak memarahi anaknya, sebaliknya menolak anak kucing itu dengan kaki beberapa kali sambil diperhatikan oleh beberapa penduduk yang menyaksikan kejadian itu. 


Kejadian itu mencetuskan kemarahan netizen yang menuntut agar dua beranak itu dikenakan tindakan tegas kerana sudah jelas dan terbukti kedua-duanya menganiaya haiwan yang tidak berdosa itu. 

"Celaka punya mak macam ni. Tak ada kesedaran sivik. Harap-harap anak kau pijak kau bila kau dah tua dan tak berdaya. Sebagai parent, pentingnya mendidik anak sayang kepada haiwan. Sebab ini yang akan membentuk jati diri seseorang kanak-kanak," kata netizen.

Justeru, PHM meminta kerjasama dari orang awam yang melihat kejadian penganiayaan terhadap haiwan terus melaporkan kepada mereka dengan menghantar bukti-bukti berbentuk gambar atau video serta maklumat terperinci ke emel malaysiaanimal@gmail.com, agar tindakan dapat diambil bagi menyelamatkan haiwan yang teraniaya itu. 

No comments