'Aku lama lagi kat sini, tolong doakan kesihatan aku untuk bertahan di sini' - Benjy
"Aku lama lagi kat sini, tolong doakan kesihatan aku bertambah baik sebab aku perlu jadi sihat untuk bertahan di sini. Doakan segala usaha aku untuk pulang dipermudahkan," demikian nota yang ditulis oleh pelakon, Benjy.
Benjy atau nama sebenar Kaheryll Benjamin Ibrahim, anak Allahyarham seniwati Azean Irdawaty kini sedang menjalani hukuman di Penjara Tanjung Gusta, Medan, Indonesia, atas kesalahan memiliki dadah jenis syabu.
Benjy pada ditahan pegawai Kastam dan Eksais sebaik saja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Deli Serdang, Sumatera Utara pada 18 April 2017.
Benjy kemudian didapati bersalah kerana memiliki 4.5 gram dadah jenis methamphetamine yang disembunyikan dalam duburnya dan dikenakan hukuman penjara, dijangka dibebaskan pada 2028.
Nota bertarikh 15 Disember 2018 itu dikongsikan oleh Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, yang melawatnya di penjara itu baru-baru ini.
Menurut Zed, Benjy mengalami penyakit asma kronik dan berisiko terkena penyakit batuk kering atau tuberculosis (TB).
Benjy yang bukan warganegara juga sukar mendapatkan rawatan yang terhad selain kos ubat-ubatan yang dikenakan adalah terlalu mahal menyebabkan Benjy terpaksa menanggung derita.
Foto - Kopi Planet |
"Apabila kami berjumpa sahaja, dia terus memeluk saya dengan lama kerana menurutnya kami orang pertama dari Malaysia yang melawatnya sejak dipenjarakan tahun lalu.
"Cakap sekejap, kemudian dia menangis sambil terbatuk-batuk. Memandangkan dia bukan warganegara Indonesia, jadi untuk membeli ubat-ubatan yang sesuai menelan kos tinggi, malah pemeriksaan pun dia perlu bayar.
"Alhamdulillah kami sempat membawanya menjalani pemeriksaan dan membeli ubat-ubatan untuknya ketika melawatnya di penjara.
"Kami juga mendapatkan nasihat doktor mengenai masalah kesihatannya. Doktor memaklumkan, Benjy memerlukan kira-kira RM500 hingga RM1,000 sebulan untuk membeli ubat.
"Sehubungan itu kami mendapat idea untuk membantu Benjy daripada sudut kebajikan dan kesihatan. Jumlah kutipan yag terkumpul daripada tabung yang kami lancarkan hari ini akan diserahkan kepada Benjy.
"SENIMAN berharap tabung ini dapat membantu meringankan masalah kesihatannya," katanya.
Sehubungan itu juga, SENIMAN akan menganjurkan Seniman Run 2.0 2019 (acara larian amal) bagi mengumpul dana kebajikan untuk membantu ahli-ahli persatuan yang kurang bernasib baik dan memerlukan seperti Benjy.
"InsyaAllah sebahagian daripada kutipan itu juga kita akan gunakan untuk membantu Benjy membeli ubat-ubatan dan meringankan bebannya di penjara," katanya.
Seniman Run 2.0 2019 akan diadakan pada 16 Februari 2019 di Jalan Raya, Dataran Merdeka Kuala Lumpur pada jam 7 pagi. Kepada yang berminat untuk menyertainya boleh membuat permohonan penyertaan di https://ift.tt/2PPGxQk sebelum 31 Disember ini.
Sumber: mStar Online, Berita Harian
Post a Comment