7 tahun lalu lelaki ini jual buah pinggang RM13,000 untuk beli iPhone 4, kini dia lumpuh buat selamanya


Ramai di antara kita seringkali bergurau kononnya kita sanggup jual buah pinggang untuk membeli model iPhone terbaru. Tetapi lelaki ini benar-benar melakukannya dan kini hidupnya menjadi sengsara. 

Lapor Oriental Daily, ketika iPhone 4 dikeluarkan di pasaran, Xiao Wang ketika itu berusia 17 tahun (kini 24 tahun). Semua remaja termasuk dirinya teruja dengan alat peranti berkenaan. 

Ketika itu, ramai yang ingin memiliki telefon pintar yang canggih itu dan ia menjadi satu kewajiban untuk dimiliki. 


Begitu juga dengna Xiao Wang, malangnya keadaan keluarganya yang miskin tidak membenarkan dia memiliki telefon canggih tersebut. 

Lalu dia mula mencari jalan bagaimana dia boleh mendapatkannya sehinggalah dia diberitahu bahawa manusia boleh hidup dengan satu buah pinggang. 

"Satu buah pinggang sudah cukup untuk saya, kenapa perlu dua? Baik saya jual saja buah pinggang," katanya. 

Xiao Wang pergi ke merata-rata tempat untuk mencari pihak yang sudi membeli buah pinggangnya dan terjumpa pula sebuah hospital yang boleh melakukan aktiviti haram tersebut. 

Xiao Wang mengenakan caj sebanyak 22,000 Yuan (RM13,000) untuk buah pinggangnya, melebihi jumlah yang dia perlukan untuk membeli iPhone 4. 



Remaja itu kemudian merantau dari Anhui ke Chenzhou, China, untuk melakukan pembedahan tersebut dan sebaik saja selesai pembedahan, dia terus membeli iPhone 4. 

Individu yang menjadi orang tengah memberitahu Xiao Wang yang dia boleh kembali menjalani kehidupan seperti normal selepas seminggu. Tetapi malangnya, keadaan menjadi semakin buruk apabila lukanya dijangkiti kuman. 

Lebih teruk lagi, Xiao Wang merahsiakan perkara itu dari ibu bapanya dan hanya mengetahui keadaan anak mereka selepas mangsa jatuh sakit akibat jangkitan kuman itu. 


Xiao Wang dikejarkan ke hospital, namun doktor mengesahkan fungsi buah pinggangnya sudah terjejas dan sejak dari itu dia banyak menghabiskan masanya terbaring di atas katil. 

Keluarganya pula menghadapi masalah kewangan selepas banyak menghabiskan wang untuk Xiao Wang menjalani hemodialisis. 

Individu yang menjadi orang tengah dan pihak hospital yang melakukan pembedahan buah pinggang itu diheret ke mahkamah dan dituntut memberikan pampasan yang banyak kepada keluarga Xiao Wang. 

Walaupun mereka berjaya memenangi kes tersebut, duti sudah tiada maknanya dan ianya tidak akan dapat mengembali kehidupan normal Wang. 

No comments