'Kesian yang datang dari jauh tiba-tiba makan makanan yang diragui status halalnya' - Ramai yang setuju dengan teguran lelaki ini
Pulau Pinang merupakan sebuah destinasi pelancongan yang sering dikunjungi oleh pelancong asing dan juga tempatan. Kesesakan lalu lintas tidak menghalang para pelancong untuk mengunjungi Pulau Pinang. Lokasi pelancongan yang strategik dan juga menu makanan yang menyelerakan menambat hati pelancong.
Tetapi, tatkala kita sedang leka menikmati makanan yang dikhabarkan popular dan tular di Pulau Pinang, kadangkala kita lupa untuk memeriksa terlebih dahulu adakah makanan tersebut halal atau diragui?
Pemuda ini menegur orang ramai terutamanya masyarakat Islam agar lebih berhati-hati ketika menjamu selera di Pulau Pinang. Melalui statusnya di Facebook, dia meluahkan perasaan sedih apabila melihat ada yang teruja memuat naik gambar-gambar makanan di kedai atau restoran bukan Islam. Serentak dengan itu, dia memberikan beberapa nama buah kedai halal dan diyakini bersih untuk rujukan orang ramai.
KEPADA sahabat-sahabat yang datang bercuti ke Penang, maaflah kalau saya nak tegur sikit dan bagi cadangan. Saya perhatikan sebelum ini ada di kalangan sahabat-sahabat yang datang Penang kemudian kongsikan dalam FB apa yang dimakan.
Agak menyedihkan bila ada yang muat naik dalam FB dengan makan cendol dan laksa TeoChew di Jalan Penang, curry mee dan macam-macam masakan yang dimasak oleh bukan Islam di Kedai Kopi Bee Hwa, makan bihun goreng di kedai Auntie Taman Tun Sardon, minum kopi ais, ais kepai, rojak buah di sekitar kawasan Heritage, makan nasi lemak di Projek Nasi Lemak dan beberapa lagi.
Sangat menyedihkan bila saya tengok anak-anak kecil, ibu mengandung, warga emas turut menjamu masakan-masakan ini tanpa rasa bersalah. Kesian kat anak-anak yang tak tahu apa-apa bila ibu bapa meyuapkan makanan kepada anak-anak ini dengan makanan yang status "halal" dan "suci" yang meragukan bila mana makanan tersebut disediakan oleh bukan Islam.
Nak cendol sedap boleh sahaja makan di Ais Tingkap Chowrasta, Cendol Maklom di Pekan Darat Butterworth atau cendol durian di Sg Ara.
Nak makan char kway tiaw boleh sahaja makan di Sany Char Koay Teow di Bayan Baru, Char Koay Teaw Telur Ayam dibasuh di Sg Dua, Key's Char Koay Teow di Bandar Perda BM, Sinar Bintang di Astaka Lorong Kulit (pagi) dan banyak lagi.
Kalau teringin makan laksa, boleh saja makan Laksa Mamu Sg. Pinang (sebelah mee mamak Afasia), Laksa Janggus di Balik Pulau, laksa di Medan Selera Padang Kota, laksa tempurung di Gertak Sanggul dan banyak lagi.
Nak makan nasi lemak, boleh pi makan nasi Lemak Liverpool di Batu Lanchang. Kalau suka makan curry mee, curry mee Kak Arah di Jalan Sungai Pinang (bertentang bangunan JKP) pun ok jugak.
Nak koay teow sup atau koay teow th'ng boleh makan kat Sg. Ara (coner tepi SMK Sg. Ara), depan TNB Lorong Kulit atau Sri Buana di astaka Taman Tun Sardon.
Tak payahlah kot dok makan makanan atau masakan bukan Islam. Saya bukannya rasis tapi sekadar menasihati saudara seIslam untuk mencari makanan yang dijamin "halal" dan "suci" serta tanpa "was-was". Kesian saya kat sahabat-sahabat yang datang dari jauh tiba-tiba makan makanan yang "shubahah".
Kalau nak beli barang dengan penjual bukan Islam, silakan. Tak menjadi masalah kerana barang tersebut tak boleh jadi darah daging kita. Tapi dalam bab makanan berhati-hatilah.
Kepada sesiapa yang terima teguran dan pandangan saya, terima kasih saya ucapkan. Kepada yang kurang senang dengan tulisan saya ni, saya minta maaf. Jangan marah ye. Sekurang-kurangnya saya dah menasihati saudara seIslam dengan saya dalam hal ini.
Sumber: Azdy Mohd Arshad
Post a Comment