'Puas saya mencarinya' - Tragedi hari keluarga, anak hilang rupanya lemas dalam kolam renang hotel
Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan lemas dalam kolam renang di sebuah hotel renang.
Dalam kejadian di Batu 12, Jalan Pantai, Port Dickson, mangsa, Mohammad Adam Raiyan Mohd Saiful, 7, ditemui lemas dalam kolam renang.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa dan keluarganya menyertai majlis hari keluarga yang juga dihadiri lebih kurang 50 orang lain di hotel tersebut.
"Mangsa disedari hilang oleh ibu bapanya yang juga anggota tentera pada jam 2.45 petang sebelum ditemukan terapung di dalam kolam itu," katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Saiful, 34, berkata, Adam pada mulanya mahu bermain go-kart, tetapi tidak dibenarkan lalu meminta izin untuk mandi di kolam.
Sebaik saja dia dan isterinya, Rabiatul Adawiyah Saiiyan, 36, bersama dua anak lagi bersiap untuk pulang selepas mandi, Adam tiba-tiba hilang dari pandangan dan gagal ditemui di sekitar kolam dewasa dan kanak-kanak.
"Puas saya mencarinya sehingga ke tandas kerana terfikir arwah mahu membuang air. Sebaik keluar dari tandas, saya nampak Adam sudah diangkat, terus saya berlari ke arahnya.
"Saya terus tonggengkan Adam dan buat prosedur CPR dengan apa yang saya belajar sebelum ini. Pada masa sama, perut dia sudah kembung dipenuhi air.
"Bila saya tekan lagi, ada semburan makanan, jadi saya fikir Adam tak sedarkan diri dan beri semangat untuk hidup," katanya.
Adam bagaimanapun tidak memberi sebarang maklum balas suara atau pergerakan fizikal melainkan kakinya sudah kebiruan dan darah keluar dari hidung. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Port Dickson oleh ibu bapanya untuk mendapatkan rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada jam 4.16 petang.
"Saya fikir selepas lebihan makanan tersembur keluar dari mulutnya, itu petanda yang Adam boleh hidup.
"Bantuan CPR diberikan berulang kali secara bergilir bersama rakan, keluarga dan orang awam dengan harapan Adam dapat bertindak balas.
"Bagaimanapun saya dan keluarga akur dengan ketentuanNya dan kami reda pemergian Allahyarham. Apapun, saya akui sedikit terkilan kerana tiada kehadiran penyelamat kecemasan sedangkan sebelum itu mereka ada di sana," kata bapanya.
Jenazah mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan di Masjid Tanah, Melaka.
Sumber: Utusan Online, Harian Metro
Post a Comment