'Kau siram air panas kat belakang anak, kau tak cerita!' - Budak 7 tahun mati didera ibu dan teman lelakinya


Di depan doktor, pasangan kekasih ini akhirnya mendedahkan perbuatan mereka sendiri yang mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ini sehingga hilang nyawa. Semuanya terbongkar apabila doktor mengatakan dia mahu membuat laporan polis kerana percaya mangsa telah didera. 

Si ibu terlebih dahulu membuka mulut, namun tidak kurang juga teman lelakinya mendedahkan kezaliman si ibu yang tergamak menyiram air panas ke badan mangsa sehingga melecur teruk. Malang nasib si anak dijaga mereka yang tidak bertanggungjawab. 

'KRINGG! KRINGG! KRINGG!'

TIGA kali loceng di Jabatan Kecemasan adalah petanda ada pesakit di zon kritikal. Kebetulan aku adalah hozmen yang bertugas di zon merah pada waktu itu, lalu bergegas berlari ke zon merah. 

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terbaring kaku, mukanya biru, pucat dan badannya sudah kaku. Kami segera melakukan CPR. Hanya mampu menolak sepasang suami isteri yang kami sangka ibu bapanya. 

"Pukul berapa lagi awak tengok anak awak macam ni? Dia kenapa?" soal aku pada lelaki tadi.

Si lelaki itu menjawab, "Saya tak tahu. Jumpa dia di bilik air dah keras macam ni."

Baju dan pakaian budak lelaki itu kami gunting. Cardiac monitor, IV line dipasang, Ett tube dimasukkan. Setelah pakaian dibuka, aku melihat di setiap inci badannya ada kesan seperti puntung rokok, batang kayu, hanger dan yang paling aku terkejut di belakang badannya. Kulit yang keriput akibat terkena simbahan air panas. 


Aku melihat dengan lebih dekat, kesannya seperti baru saja berlaku lebih kurang dari sebulan sebab masih ada yang basah. Di bahagian kepalanya penuh dengan luka. Bahagian yang tidak ditumbuhi rambut akibat parut luka, sangat banyak. 

"Ya Allah, ini pasti mangsa dera," kataku dalam hati.

Setelah 10 minit CPR berlangsung, anak itu memuntahkan air yang banyak. Anak ini lemas, dalam bilik air? Budak umur tujuh tahun lemas dalam bilik air? Ini sangat mencurigakan. Aku keluar dan dapatkan cerita. 

"Saya nak pergi kerja tadi, dalam jam 10. Tengok-tengok budak itu dah terbaring di lantai. Saya terus bawa ke sini," kata lelaki terbabit.

"Sebelum ini dia elok? Sedar?" 

"Sedar, main-main malam tadi makan elok saja, kan?!" balasnya sambil dia mengenggol si perempuan. 

"Ha'ah doktor. Betul-betul," wanita bersamanya mengesahkan keterangan lelaki berkenaan. 

"Awak siapa?" soal saya.

"Saya ibu dia," jawab wanita berkenaan.

"Dan awak pula ayahnya?"

"Saya kawan dia," segera dia menafikan. 

"Kawan? Tinggal serumah ke?"

"Oh tak, sebab saya datang nak ambil dia kerja."


"Saya tengok ada banyak luka-luka di badannya. Saya takut dia mangsa dera. Saya akan report kes ini kepada polis. Encik berdua tunggu di sini. Nanti polis nak ambil keterangan, penjelasan saya itu membuatkan wanita berkenaan tiba-tiba kelihatan cemas dan terus datang menghampiri saya. 

"Doktor, dia selam anak saya dalam tong air tadi. Dia selam berkali-kali sampai mati anak saya doktor! Anak saya menangis-nangis, sampai akhirnya diam. Tahu-tahu dah mati budak itu doktor!" katanya sambil menangis. 

Lelaki itu tiba-tiba hilang kawalan dan mahu membukul wanita itu. Terus wanita itu menyorok di belakang saya. 

"Weh! Kau pun lagi jahat, siram air panas kat belakang budak itu kau tak cerita! Kau jangan nak buka cerita macam kau ni baik sangat!" kata si lelaki.

"Ha?! Awak siram air panas kat anak awak sendiri??" soal saya. 

"Bukan doktor, saya tak tahu itu air panas, saya nak mandikan dia. Terlupa nak campur dengan air biasa," jelasnya. 

Aku: "Tapi kalau tengok luka itu, bukan satu gayung tapi satu baldi! Kalau awak tak sengaja, budak itu mesti menjerit dan awak akan test sendiri. Takkan budak itu diam saja? Awak nak bunuh dia ke? Apa dosa dia? mana bapak dia?"


"Itu anak luar nikah dia dengan jantan entah mana doktor! Nak pula dia jaga, pastu dera. Saya pula terbabit sekali," terbongkar sudah rahsianya.

"Kau yang nak aku jaga dia kan!" teman wanitanya sudah hilang sabar. 

"Dah! Dah! Dah! Saya tak nak dengar apa-apa. Nanti cerita di balai. Kami tak dapat selamatkan anak puan. Tahniahlah sebab berjaya bunuh dia dan dia pun dah tak perlu kena dera korang lagi. Biarlah dia berehat dengan aman di sisi Tuhannya. Dia tak berdosa," saya memang tak dapat menahan air mata. 

Tak dapat fikir macam mana selama tujuh tahun budak itu membesar dengan penuh luka di badan, calar balar bagai. Entah bagaimana dia hidup dalam ketakutan, tiada tempat mengadu, apalah dosa dia. 

Tenanglah awak di sana dik. Akak doakan awak bahagia. Syurga untukmu sayang. Dia memang kejam untukmu.

Saya berlalu pergi dan membuat laporan tentang kematian BID (brought in dead). Saat kakitangan membungkus mayatnya, aku memerhatikan satu persatu dan membayangkan bagaimana dia bertahan selama tujuh tahun. 

Cerita ini sudah lama saya tulis, tak mampu nak share sebab tak boleh terima betapa jahatnya manusia boleh jadi. 

Tadi semasa memandikan Anas, saya tengah mengukur kepanasan air dan sedikit panas, lalu saya pun tambah air biasa. Saya ukur lagi supaya anak saya selamat. 

Macam mana awak boleh simbah air panas pada badan anak awak? Cuba terpercik sikit kena pada tangan awak, sakit, kan?? Dasar jahat!

No comments