Yuran tadika mahal (RM1,000 - RM2,000), ibu bapa terpaksa ikat perut


Menjelang akhir tahun ini, ramai ibu bapa yang meluahkan rasa keperitan mereka yang terpaksa membayar kos yuran tadika anak masing-masing yang dikatakan meningkat setiap tahun. Ibu bapa tiada pilihan dan terpaksa juga membayar yuran tersebut bermula dari RM1,000 ke RM2,000 setahun.

Dalam laporan Sinar Harian, beberapa ibu bapa yang ditemubual berkata, keadaan menjadi lebih teruk jika dalam satu keluarga ada ramai anak yang perlu dihantar ke tadika. Bukan berkira namun ibu bapa sangat berharap isu ini diberi perhatian oleh pihak berwajib dan mengambil tindakan bagi meringankan sedikit bebanan mereka. 

Yuran mahal biasanya terjadi kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke tadika swasta. Namun, timbul persoalan mengapa tadika swasta yang menjadi pilihan sedangkan tadika kemas disediakan dengan tanpa apa-apa yuran. 

Juga menjadi persoalan, mengapa ibu bapa sanggup berhabis duit untuk anak-anak yang masih kecil, iaitu bermula usia tiga hingga enam tahun? Apakah faktor yang menyebabkan mereka reda untuk membayar yuran yang begitu tinggi? Ada yang mengatakan, yuran mahal ini bergantung kepada sejauh mana populariti tadika tersebut. 

Rata-rata ibu bapa yang ditemui berkata, pemilihan tadika swasta pada hari ini sudah menjadi keperluan, bukan lagi pilihan. 

Bagi Azmi Nasir, 37, dua anaknya dihantar ke tadika swasta yang berkonsepkan Islamik kerana pendekatan yang digunakan. 

"Kalau nak kata memilih tu, tidaklah. Tetapi tadika swasta ini pendekatannya lebih dekat dengan alam persekolahan nanti. Dua-dua anak saya dihantar ke tadika sejak mereka berusia lima tahu. Saya akui, memang perlu memperuntukkan sejumlah wang agak besar setiap hujung tahun. 

"Saya berusaha untuk melunaskan yuran kerana saya melihat perkembangan anak-anak saya di mana dalam pembelajaran dan juga disiplin," katanya. 

Bagaimanapun katanya, yuran itu tidak termasuk bayaran lain seperti hari sukan, lawatan dan hari anugerah. 

"Itu kena bayar lain. Sudahlah bulan-bulan saya bayar hampir RM300, nanti ada tambahan lagi. Sudahlah yuran mahal, ditambah dengan bayaran lain membuatkan kita ibu bapa ini terpaksa mengikat perut," atanya. 

Azmi mengakui, tadika pilihannya itu banyak membantu anak-anaknya sehingga mereka boleh bersolat dengan baik dengan pendekatan berbeza yang ditunjukkan di tadika. Namun begitu, yuran yang agak mahal juga tetap memberikan tekanan kepada ibu bapa. 

"Buat masa sekarang, seorang anak saya yang tadika. Kakaknya dah sekolah rendah. Nanti lima tahun lagi, adiknya pula. Kalau yuran semakin tinggi, saya tak tahu nak cakap macam mana tetapi saya sangat berharap perkara ini mendapat perhatian daripada pihak berwajib dan memantau setiap pergerakan tadika-tadika swasta," katanya. 

Aminah Abdullah, 35, pula berkata, dia tiada pilihan lain selain menghantar anaknya ke tadika swasta kerana tadika Kemas yang berdekatan dengan rumahnya sudah penuh. 

"Saya ada cuba nak hantar, tetapi dah penuh. Alasan utama mereka adalah kerana gaji saya agak tinggi. Tadika Kemas meletakkan syarat-syarat tertentu, jadi nak buat macam mana? Terpaksalah bayar yuran tinggi setiap tahun," katanya yang mula menghantar anaknya ke tadik sejak berusia empat tahun. 

Menurut Aminah, tadika swasta anaknya juga menyediakan pusat jagaan seharin selepas tamat sesi pembelajaran yang memudahkannya fikir di mana dia perlu menghantar anaknya untuk dijaga orang lain. 

"Saya tak payah lagi nak fikir transit dan sebagainya. Tadika swasta ini ada buat, jadi bayar sajalah. Tadika Kemas tak sediakan perkhidmatan itu. Kalaulah yuran itu dapat dikurangkan, lebih baik memandangkan zaman sekarang semua benda naik harga," katanya yang juga berharap pihak berwajib memantau yuran yang dikenakan oleh tadika-tadika swasta. 

"Saya faham mereka ini ada persatuan. Jadi kalau persatuan kata tak boleh lebih sekian-sekian harga, kenalah kita iktu. 

"Saya juga bersetuju bila kata tadika swasta bulan lagi pilihan tetapi keperluan. Betul, pendekatan pembelajaran yang dilakukan amat efektif untuk anak-anak. Cuma kita bukan orang kaya nak bayar mahal-mahal sangat. 

"Saya dan suami perlu sediakan RM1,500 untuk pendaftaran tadika anak kami. Dengan yuran yang agak tinggi, ia sedikit memberi bebanan. Namun apabila memikirkan pendekatan yang digunakan tadika terbabit, saya jadi tidak kisah pula. 

"Cara pembelajaran mereka lain dari tadika lain. Banyak simulasi yang digunakan, contohnya mengenali pokok pisang bukan hanya dengan melihat gambar, malah sebatang pokok pisang dibawa ke dalam kelas. Dari situ anak-anak ini akan merasai sendiri bagaimana rupa dan boleh menyentuhnya," katanya. 

Wani Mehat, 33, juga memperuntukkan RM1,000 untuk yuran tadika anaknya juga merasakan jumlah itu agak membebankan meskipun tadika anaknya itu bukanlah tadika popular. 

"Tadika yang saya hantar itu bukan popular seperti yang kita selalu dengar. Tapi yurannya pun boleh tahan juga mahalnya. Walaupun gaji saya tak besar mana, tetapi saya tak dapat nak daftarkan anak saya ke tadika Kemas. Nak tak nak, kena hantar ke tadika swasta. 

"Saya bekerja, tadika dekat rumah, bukan pejabat. Jadi saya tak boleh nak ambil anak saya bila habis waktu. Mujur mereka menyediakan perkhidmataan jagaan selepas tamat sesi belajar. Jadi ia memudahkan saya dan suami. 

"Saya perasan ada kenaikan harga yuran kalau tak silap hampir RM100 tambahan dari tahun lepas. Apa yang dimaklumkan, buku dan silibus pembelajaran yang menjadikan yuran mahal," katanya. 

Bagi Aishah Mohamad, 34, melihat kendiri anaknya sejak dihantar ke tadika pada usia empat tahun, dia nekad untu kterus menghantar anaknya. 

"Tahun ini anak saya lima tahun. Saya risau juga pada mulanya hantar dia ke tadika. Saya memang memilih tadika swasta berkonsepkan Islamik dengan bahasa utamanya Bahasa Inggeris. Yuran mahal tu memang tak dapat dinafikan. Apa yang boleh kami buat? Nak yang terbaik, kena bayar lebih la kan.

“Kalau ada pihak yang sudi nak bawa hal ini ke tengah, kami ibu bapa tumpang berbangga dan bersyukur. Iyelah, anak tadika tapi yuran macam nak masuk asrama penuh sekolah menengah,” katanya.


Bagi Zila Wahi, 32, tiga daripada empat anak-anaknya dihantar ke tadika Kemas kerana keadaan kewangannya yang tidak mengizinkan dan setakat ini anak-anaknya pandai menyanyi dan berdoa. 

"Di tadika Kemas, memang tak ada pembelajaran khusus untuk mereka. Saya ada hadir taklimat ibu bapa sejak tiga tahun lalu. Bukan niat saya nak mengkritik atau apa, tetapi pegawai yang memberi taklimat itu seolah-olah membaca skrip kerana setiap bait ayatnya sudah saya hafal sejak tiga tahun lalu.

"Katanya, anak-anak pada usia lima tahun belum masanya untuk belajar, biarkan mereka bermain dahulu,” katanya.

Sistem pengajaran dan pembelajaran yang digunakan tadika swasta lebih komprehensif dan menetapi persediaan untuk kemasukan darjah 1. Ujarnya, tadika Kemas juga tidak mempunyai ujian dan apabila anak sulungnya perlu mendududuki ujian ketika darjah 1, anaknya tidak tahu.

“Macam saya cakaplah, kerana faktor kewangan, saya tak mampu nak hantar anak ke tadika swasta. Saya bukan nak memperlekehkan tadika Kemas, tetapi sudah tiba masanya, silibus pembelajaran diubah.

“Saya faham... anak-anak tak ada yuran, cuma ibu bapa boleh menyumbang RM10 setiap bulan, sama ada nak bayar atau tak, terpulang,” katanya.

Katanya, melihat perkembangan anak-anaknya, anak keduanya baru boleh membaca pada usia lewat enam tahun.

“Di tadika tak ditekankan sangat mengenai pembelajaran. Saya lihat sudah tiba masanya pengajaran dan pembelajaran di tadika kemas dipertingkatkan.

“Tak perlu lagi menyanyi, doa dan bermain. Berilah anak-anak ini ilmu pada peringkat awal, kerana masuk darjah 1, kalau tak boleh membaca, kena masuk kelas peralihan,” jelasnya.

Perkara sama turut diakui L Amuthadevi, 29, yang mengakui anaknya fasih menyanyi lagu daripada membaca.

“Setiap malam, saya akan latih anak saya mengeja dan membaca. Kalau nak harap pada tadika Kemas sahaja, memang anak saya tak boleh membaca lagi.

“Siapa tak suka, yuran tak ada, tapi, kenalah ada perubahan, sampai bila nak macam ni, dunia pendidikan dah semakin maju, takkan Kemas nak sama macam saya kecil-kecil dulu?” katanya.   

Sementara itu, pengasas Tadika Dzul Iman Smart Khalifah Centre, Badariah Ismail berkata, yuran tahunan tadika adalah bergantung kepada buku dan silibus yang digunakan.

“Sebahagian besar yuran yang dibayar semasa pendaftaran digunakan untuk buku-buku dan baju anak.

“Ini antara sebab yang menjadikan kos pendaftaran tadika mencecah RM1,000 dan ke atas,” ujarnya.

Beliau berkata, kenaikan harga itu tidak dapat dinafikan dan berkata, yuran bulanan yang dikatakan tinggi juga adalah digunakan untuk menampung cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Bagi tadika swasta, kos bulanan memang tinggi kerana untuk menampung sewa, gaji guru dan makan anak-anak.

“GST dan inflasi turut menambah berat keadaan ini. Yuran bulanan biasanya cukup-cukup untuk kos operasi bulanan,” jelasnya.

Katanya lagi, jika ingin membuat penambahbaikan pada kemudahan dan alat bantu mengajar, pengusaha perlu menambah modal, atau bergantung pada yuran pendaftaran.

“Selain itu, yuran tahunan juga kami gunakan untuk membantu menghantar guru ke kursus-kursus yang dapat meningkatkan kualiti pendidikan,” katanya.

No comments