Kepala bayi terputus ketika dilahirkan, pasangan saman hospital


Pasangan suami isteri memfailkan tindakan undang-undang ke atas sebuah hospital yang didakwa cuai sehingga menyebabkan kepala bayi pra-matang mereka terputus ketika dilahirkan pada 18 Disember lalu, lapor Mirror. 

Ibu mangsa, Reina Natalia Valazquesz, 30, yang hamil 22 minggu terpaksa bersalin awal pada 18 Disember lalu ketika dia sedang meluangkan masa cutinya bersama keluarga di Salvador Mazza, Argentina.

Reina dibawa ambulans ke Hospital Juan Domingo Peron di Tartagal setelah pasukan perubatan memutuskan wanita itu boleh bersalin secara normal.

Di dewan bersalin, kakitangan hospital cuba menyambut kelahiran bayi pasangan itu dengan badan bayi itu keluar terlebih dahulu. Malangnya, kepala bayi itu tersangkut di serviks. 

Doktor didakwa secara tidak sengaja telah menarik badan bayi itu menyebabkan kepalanya terputus. 

Ketika kejadian, suami Reina keluar memberi beberapa barangan bayi dan apabila kembali dia ternampak salah seorang kakitangan hospital berkenaan memegang badan bayinya tanpa kepala.

Kepala mangsa yang masih berada di dalam rahim wanita itu kemudian dikeluarkan secara semulajadi bersama plasenta. 

Reina berkata, semasa proses kelahiran itu dia tidak tahu sama ada doktor atau bidan yang menarik keluar bayi mereka sehingga menyebabkan kepala anak mereka terputus. 




Selepas kejadian itu, pihak hospital berkenaan menempatkan mayat mangsa dalam sebuah kotak putih dan diserahkan kepada pasangan terbabit. 

Sementara itu, pengarah hospital berkenaan, Jose Fernandez berkata, kakitangan hospital yang bertugas pada waktu itu menolak kelahiran secara pembedahan kerana bukaan Reina pada waktu itu sudah mencecah 11 sentimeter.

"Bayi itu masih berada dalam breech position, jadi badannya keluar terlebih dahulu. Apabila tiba di kepala, berlaku tekanan di serviks yang memampatkan leher bayi berkenaan.

"Pakar obstetrik itu kemudian menghubungi doktor lain untuk cuba membantu membebaskan kepala bayi itu, namun ada koyakan dan menyebabkan kepala bayi itu terputus.


Pihak Pendakwa Raya Argentina hari ini mengesahkan siasatan berhubungan kematian bayi itu telah dijalankan. Bedah siasat terhadap bayi seberat 700 gram itu juga akan dibuat bagi menentukan punca kematiannya.

Jose berkata, pihaknya akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sepenuhnya. Walau bagaimanapun beberapa kakitangan hospital yang terlibat dalam kejadian itu akan terus bertugas seperti biasa. 

No comments